PENGUAT KUASA KPDNHEP memeriksa minyak masak bersubsidi yang dicampur minyak masak terpakai. FOTO Ihsan KPDNHEP JOHOR
PENGUAT KUASA KPDNHEP memeriksa minyak masak bersubsidi yang dicampur minyak masak terpakai. FOTO Ihsan KPDNHEP JOHOR
Omar Ahmad


Pasir Gudang: Campur minyak masak paket bersubsidi ke dalam tangki minyak terpakai sebelum dijual kepada syarikat biodiesel untuk meraih keuntungan berganda.

Itu modus operandi sebuah kilang yang menjalankan aktiviti pengumpulan dan penjualan minyak masak terpakai di Kota Masai, di sini, bagi mendapatkan kuantiti lebih banyak.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, kegiatan itu terbongkar susulan serbuan ke atas premis berkenaan kira-kira 11 pagi, semalam.

Katanya, kegiatan seleweng itu dipercayai sudah dilakukan dalam tempoh setahun.

"Dalam serbuan ini, kami menemui dan menyita 13.6 tan metrik minyak masak yang disyaki sudah dicampur minyak masak terpakai dianggarkan bernilai RM88,785.

"Seorang lelaki tempatan yang juga pemilik syarikat berusia 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hairul Anuar berkata, sitaan turut dibuat ke atas peralatan yang diguna pakai bagi menjalankan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

"Kita tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras aktiviti penyelewengan subsidi barang kawalan demi kepentingan rakyat.

"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 12:35 PM