GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kes harian baharu Covid-19 terus meningkat sepanjang minggu ini dengan 16,469 kes dilaporkan untuk tempoh 25 Jun hingga 1 Julai 2022 dan kes tertinggi pada 30 Jun iaitu 2,867 kes.

Kelmarin 1 Julai, kes harian baharu masih berada atas paras 2,500 iaitu 2,773, menjadikan kes aktif meningkat kepada 30,217 kes sementara kes kumulatif kini sebanyak 4,568,828.

Daripada 2,773 kes kelmarin, Selangor merekod kes tertinggi 884, diikuti Kuala Lumpur 793, Perak 209, Negeri Sembilan 155, Pulau Pinang 138, Sabah 135 dan Melaka 110.

Negeri-negeri lain melaporkan kes harian baharu dua angka iaitu Putrajaya 97, Pahang 60, Johor 60, Sarawak 47, Kedah 35, Kelantan 24 dan Terengganu 17.

Sementara Perlis mencatat lima (5) kes dan Labuan, empat (4) kes.

Berikut kes harian baharu Covid-19 sepanjang tempoh rangkuman mingguan 25 Jun hingga 1 Julai 2022): 25 Jun (2,303), 26 Jun (2,003), 27 Jun (1,894), 28 Jun (2,025), 29 Jun (2,605), 30 Jun (2,867) dan 1 Julai (2,773).

Rekod kes harian baharu Covid-19 sepanjang tempoh rangkuman mingguan 18 Jun hingga 24 Jun 2022): 18 Jun (2,127), 19 Jun (1,690), 20 Jun (2,093),21 Jun (1,921), 22 Jun (2,425), 23 Jun (2,796) dan 24 Jun (2,512).

Rakyat Malaysia sudah diingatkan bahawa negara ini berkemungkinan mengalami semula gelombang baharu Covid-19 seperti apa yang sedang berlaku di negara jiran, Singapura.

Singapura masih mencatat kes harian baharu Covid-19 yang tinggi sepanjang minggu ini, berdasarkan data Worldometer seperti berikut: 25 Jun (6,168), 26 Jun (5,116), 27 Jun (5,309), 28 Jun (11,504), 29 Jun ( 9,362), 30 Jun ( 9,505) dan 1 Julai (9,087).

Sebanyak 1,984 kes sembuh Covid-19 dilaporkan sehingga pukul 11:59 malam 1 Julai 2022, menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 4,502,840.

Sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan dua kluster baharu iaitu kluster pendidikan (Kluster Seri Nanas) dikesan pada 30 Jun di Hilir Perak, Perak melibatkan tujuh kes setakat ini.

Satu lagi kluster, kumpulan berisiko tinggi (Kluster Jalan Camar) dilaporkan pada 25 Jun melibatkan 20 kes dikesan di Seremban, Negeri Sembilan.

Secara keseluruhannya, KKM setakat ini mengesan sebanyak 7,020 kluster sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini lebih dua tahun lalu. Setakat 1 Julai, tujuh kluster yang masih aktif.

Dengan sebanyak 4,568,828 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 25 daripada 228 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) 4,744,430 kes dan Ukraine 5,017,038 kes.

Dalam kalangan 228 buah negara, mengikut data terkini Worldometer, Perancis merekod kes harian tertinggi kelmarin, sebanyak 125,066 kes diikuti Amerika Syarikat 99,586 dan Itali 86,334.

Amerika Syarikat mencatat angka kematian akibat Covid-19 tertinggi dengan 1,043,168 kes.

Menurut laporan luar negara, Amerika Syarikat mungkin berdepan dengan strain baharu Covid-19 BA.5 yang disifatkan pakar sebagai 'versi terburuk' strain Covid-19.

Dilaporkan juga majoriti kes baharu Covid-19 di negara Uncle Sam itu berpunca daripada strain BA.4 dan BA.5 dan dijangkakan BA.5 akan menjadi dominan awal Julai ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan pada Khamis lepas, jumlah kes harian baharu Covid-19 meningkat sebanyak 18 peratus, melibatkan lebih 4.1 juta kes di seluruh dunia.

Sementara itu, data COVIDNOW KKM setakat pukul 11:59 malam 1 Julai 2022 menunjukkan sebanyak 28,892 kes (95.6 peratus) dikuarantin di rumah daripada 30,217 kes aktif yang dilaporkan.

Sebanyak 26 kes (0.1 peratus) lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); 1,252 kes (4.1 peratus) di hospital; 19 kes (0.1 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 28 kes (0.1 peratus) di ICU memerlukan ABP.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 7:30 AM