Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Institusi pendidikan terus dilanda wabak Covid-19 dengan 83 kluster (sekitar 76 peratus) lagi dilaporkan untuk sepanjang tempoh seminggu lalu, daripada 110 kluster baharu yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Semalam (28 Januari) sahaja, sebanyak 19 kluster pendidikan direkod daripada 23 kluster baharu, sementara bakinya adalah kluster tempat kerja.

Kluster pendidikan itu dilaporkan di Johor (2), Kedah (2), Kelantan (2), Melaka (3), Pahang (1), Perak (1), Perlis (1), Sabah (1), Selangor (5) dan WP Kuala Lumpur (1).

Berikut adalah data kluster pendidikan untuk seluruh negara bagi tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (22 Januari hingga 28 Januari 2022):-

22 Januari (7), 23 Januari (12), 24 Januari (5), 25 Januari (9), 26 Januari (13), 27 Januari (18) dan 28 Januari (19).

Sementara itu, angka kes harian baharu Malaysia terus meningkat semalam dengan sebanyak 5,522 kes dilaporkan, menjadikan kes kumulatif sebanyak 2,855,930 kes.

Ini kali kedua dalam tempoh seminggu ini, negara mencatat kes harian baharu atas lima ribu. Sebanyak 5,439 kes harian baharu dilaporkan pada 27 Januari. Kali terakhir Malaysia mencatat kes harian baharu Covid-19 lima ribu pada 10 Disember 2021 iaitu 5,058 kes.

Data kes harian baharu KKM bagi tempoh Rangkuman Mingguan ini adalah seperti berikut:-

22 Januari (4,116), 23 Januari (3,856), 24 Januari (3,214), 25 Januari (4,066), 26 Januari (4,744), 27 Januari (5,439) dan 28 Januari (5,522).

Setakat 11.59 malam 28 Januari, kes aktif dengan kebolehjangkitan dalam negara meningkat kepada 50,030 kes.

Daripada jumlah itu, sebanyak 43,145 kes (86.2 peratus) dikuarantin di rumah; 4,064 kes (8.1 peratus) di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); 2,694 kes (5.4 peratus) di hospital; 57 kes (0.1 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 70 kes (01 peratus) di ICU memerlukan ABP.

Dengan kes kumulatif sebanyak 2,855,930 kes, Malaysia kini di tangga 25 daripada 222 negara/wilayah yang dilanda Pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Czechia (2,923,680 kes) dan Kanada (3,007,264 kes).

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam, daripada 5,522 kes harian baharu, hanya 39 kes (0.7 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; sementara 5,483 kes (99.3 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

KKM meletakkan pesakit Covid-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5. Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksigen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Kes sembuh pesakit Covid-19 yang dilaporkan semalam adalah sebanyak 3,285 dan menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 2,773,948 kes (97.1 peratus).

Sementara itu, sebanyak 102 kes di Unit Rawatan Rapi disahkan sebagai Covid-19 setakat 27 Januari dan hanya 43 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt untuk seluruh negara sepanjang tempoh Rangkuman ini melepasi 1.00 dan datanya seperti berikut:-

22 Januari (1.07), 23 Januari (1.08), 24 Januari (1.09), 25 Januari (1.09), 26 Januari (1.13) dan 27 Januari(1.15).

Negeri yang mencatat Ro/Rt yang tinggi pada 27 Januari ialah Negeri Sembilan (1.21), Kedah (1.16) dan Johor (1.14).

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam, sebanyak 62 kes baharu Varian Yang Dibimbangi (VOC) dilaporkan daripada 25 Januari sehingga 28 Januari. Kesemua kes ini adalah varian Delta.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Varian yang Mempunyai Kepentingan (VOI) adalah sebanyak 7,118 kes. Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 7,098 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.

Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 6,250 kes varian Delta, 601 kes varian Omicron, 233 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.

Manakala bagi kes-kes VOI, terdapat sebanyak 13 kes varian Theta, empat (4) kes varian Kappa dan tiga (3) kes varian Eta.

Rekod kes kematian:-

*BID = kes kematian di luar fasiliti kesihatan (iaitu hospital) dan dibawa ke Jabatan Forensik hospital; disahkan positif COVID-19 selepas ujian makmal PT PCr dijalankan.

22 Januari - 14 (BID 0), 23 Januari - 9 (BID 1), 24 Januari - 10 (BID 1), 25 Januari - 16 (BID 3), 26 Januari - 12 (BID 2), 27 Januari - 10 (BID 3) dan 28 Januari - 12 (BID 1).

*Jumlah kes kematian sehingga 11.59 malam 28 Januari, sebanyak 31,952 kes.

Rekod kluster baharu dan perincian kluster:-

22 Januari - 9 (tempat kerja 2 dan pendidikan 7);

23 Januari - 13 (tempat kerja 1 dan pendidikan 12);

24 Januari- 9 (tempat kerja 4 dan pendidikan 5);

25 Januari - 13 (tempat kerja 3, komuniti 1 dan pendidikan 9);

26 Januari- 21 (tempat kerja 5, komuniti 2, pendidikan 13 dan kumpulan berisiko tinggi 1);

27 Januari - 22 (tempat kerja 2, komuniti 1, pendidikan 18 dan kumpulan berisiko tinggi 1).

28 Januari- 23 (tempat kerja 4 dan pendidikan 19).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 9:12 AM