PETUGAS  kesihatan   memakai peralatan pelindungan diri (PPE) sebelum bertugas  merawat pesakit Covid-19  ditempatkan di Zon Pengurusan Bencana (DMZ), Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di ibu kota, semalam. FOTO ASWADI ALIAS
PETUGAS kesihatan memakai peralatan pelindungan diri (PPE) sebelum bertugas merawat pesakit Covid-19 ditempatkan di Zon Pengurusan Bencana (DMZ), Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di ibu kota, semalam. FOTO ASWADI ALIAS
BERNAMA

Kuala Lumpur: 'Tiga Serangkai' - Selangor, Wilayah Perkutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan terus meledak dengan jumlah kes harian baharu Covid-19 empat angka dan sekali gus melonjakkan kes aktif dengan kebolehjangkitan dalam negara kepada 108,369.

Kes kumulatif di Malaysia yang setakat kelmarin berjumlah 880,782 dibimbangi boleh mencapai angka sejuta dalam masa terdekat jika kes harian baharu kekal pada lima angka seperti yang berlaku sejak tiga hari lepas.

Kelmarin, negara dibebani 13,215 kes harian baharu, yang tertinggi sejak tiga kes pertama dikesan di negara ini pada 25 Januari 2020.

Malaysia pertama kalinya melaporkan kes harian baharu lima angka pada 13 Julai (11,079 kes) dan berikutnya 14 Julai (11,618 kes).

Sepanjang rangkuman mingguan ini, angka kes harian baharu dalam negara seperti berikut: 10 Julai (9,353 kes), 11 Julai (9,105 kes), 12 Julai (8,574 kes), 13 Julai (11,079 kes), 14 Julai (11,618 kes) dan 15 Julai (13,215 kes).

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikumpul dalam rangkuman mingguan 10 Julai hingga 15 Julai 2021, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan menyumbang 9,222 kes atau sekitar 70 peratus daripada jumlah 13,215 kes itu.

Begitu juga pada hari Rabu, ketiga-tiga negeri menyumbang 8,337 kes (kira-kira 72 peratus) daripada 11,618 kes harian baharu dan pada Selasa, 7,817 kes (kira-kira 70 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes harian baharu pada hari itu, sebanyak 11,079 kes.

Selangor dan Kuala Lumpur) diletak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 3 Julai hingga 16 Julai 2021. PKPD di Selangor melibatkan 34 mukim sementara WP Kuala Lumpur membabitkan 14 lokaliti.

Sementara di Negeri Sembilan, seluruh Daerah Seremban (melibatkan Mukim Ampangan, Mukim Labu, Mukim Lenggong, Mukim Pantai, Mukim Rantau, Mukim Lasah, Mukim Seremban dan Mukim Setul) diletak di bawah PKPD berkuat kuasa 9 Julai 2021 sehingga 22 Julai 2021.

Di samping kes harian baharu yang tinggi, Malaysia dibebani kemunculan kluster baharu yang berterusan dengan kluster dominan iaitu kluster tempat kerja.

Setakat 15 Julai 2021, KKM melaporkan 873 kluster aktif sementara jumlah keseluruhan kluster direkod di negara ini 3,168 kluster dan 2,295 daripadanya ditamatkan.

Daripada 26 kluster baharu dilaporkan kelmarin, 15 kluster tempat kerja, 6 kluster komuniti, 2 kluster pendidikan dan 3 kluster pusat tahanan.

Jumlah kes pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun 885 kes setakat kelmarin dan 432 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kes tertinggi di ICU dicatat pada 13 Julai iaitu 972 kes.

Kes kumulatif kematian meningkat kepada 6,613 (0.75 peratus) apabila 110 kematian dilapor kelmarin.

Dengan 880,782 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 32 (tangga 33 rangkuman mingguan lepas) dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Portugal (920,200 kes) dan Pakistan (981,392 kes).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik berkata, seluruh Malaysia dijangka beralih kepada fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) awal Ogos 2021.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan membuat jangkaan berdasarkan perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap dua dos yang melepasi nilai ambang 10 peratus.

Setakat ini, lapan negeri iaitu Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak beralih ke fasa dua, Sekatan Pergerakan Perjalanan (SPP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Untuk beralih ke fasa dua, jumlah kes harian baharu Covid-19 perlu mencapai nilai ambang di bawah 4,000. Dua lagi faktor diambil kira ialah kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10 peratus populasi Malaysia menerima dua dos suntikan vaksin.

Fasa pertama SPP bermula 1 Jun 2021 sehingga 14 Jun 2021 dan disambung sehingga 28 Jun 2021 mungkin berlangsung sehingga pertengahan Julai 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam ciapan di akaun Twitter KKM kelmarin berkata: "Varian baharu termasuk Delta boleh berjangkit dalam kalangan kontak rapat dalam tempoh 5 saat berbanding sekurang-kurangnya 15 minit bagi varian sebelum ini selain boleh berjangkit melalui udara (airborne)."

Sementara itu, dalam catatan di Facebook peribadinya pada 14 Julai 2021, beliau mengumumkan, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 15 Julai 2021 untuk seluruh negara kekal 1.20.

Negeri mencatat Ro/Rt tertinggi adalah Putrajaya 1.32, Terengganu 1.27 dan Kedah 1.23. R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif Covid19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 8:01 AM