MALAYSIA kini di tangga 38 dalam senarai 216 negara dilanda pandemik Covid-19. FOTO Aswadi Alias
MALAYSIA kini di tangga 38 dalam senarai 216 negara dilanda pandemik Covid-19. FOTO Aswadi Alias

Kuala Lumpur: Rekod kes harian baharu Covid-19 stabil di bawah angka enam ribu sepanjang rangkuman 12 hingga 17 Jun 2021 sementara jumlah kumulatif kes pesakit pulih hampir 90 peratus.

Kelmarin, Malaysia mencatat 5,738 kes harian baharu, menjadikan kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan di negara ini sebanyak 66,097 kes sementara kes kumulatif sebanyak 678,764 kes.

Selangor terus mencatat kes harian baharu tertinggi dan kelmarin merekod 1,858 kes diikuti Negeri Sembilan dengan 1,086 kes dan Kuala Lumpur sebanyak 641 kes.

Malaysia mencatat angka kes harian baharu paling rendah pada Isnin 14 Jun sebanyak 4,949 kes.

Kali terakhir Malaysa mencatat angka kes harian dalam lingkungan empat ribu pada 18 Mei 2021 sebanyak 4,865 kes.

Perkembangan ini semestinya memberi harapan penularan wabak koronavirus maut ini dapat dikawal dengan perlaksanaan sekatan pergerakan penuh (SPP) mulai 1 Jun lepas. Fasa 1 SPP yang berakhir 14 Jun disambung untuk dua minggu sehingga 28 Jun 2021.

Sementara itu, kes pesakit Covid-19 yang sembuh sepanjang tempoh rangkuman terus mengatasi jumlah kes harian baharu. Kes sembuh tertinggi direkod pada Sabtu 12 Jun iaitu sebanyak 8,334 kes. Keadaan ini membantu mengurangkan jumlah kes aktif kepada bawah 70 ribu.

Kelmarin, 7,530 kes sembuh baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes kumulatif kes sembuh sebanyak 608,465 kes (89.64 peratus).

Untuk kes kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), setakat kelmarin 909 kes dilapor dan 441 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dengan 678,764 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 38 dalam senarai 216 buah negara dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Switzerland (701,260 kes).

Sepanjang tempoh rangkuman, tempat kerja terus menjadi lokasi penularan kes Covid-19. Daripada 25 kluster baharu dilapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kelmarin, 20 kluster melibatkan tempat kerja.

KKM sebelum ini melaporkan sehingga 14 Jun 2021, ada 1,328 kluster tempat kerja dan daripada 624,246 individu disaring dalam kluster berkenaan, 147,040 kes dikesan positif Covid-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbar KPK 14 Jun 2021 - Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) di Malaysia, kebanyakan kes positif dilapor dalam kategori kluster tempat kerja terdiri daripada bukan warganegara Malaysia iaitu 100,086 kes (68 peratus) berbanding warganegara iaitu 46,954 kes (32 peratus).

Sektor pengilangan melapor jumlah kes tertinggi dalam kategori kluster tempat kerja iaitu 95,156 kes melibatkan 639 kluster.

Secara keseluruhan, sehingga 17 Jun 2021, Malaysia mencatat 2,557 kluster, sebanyak 1,762 daripadanya ditamatkan dan 795 kluster masih aktif.

Sebagai usaha membendung penularan Covid-19 di tempat kerja, kerajaan pada 16 Jun melancarkan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik berkata, Pikas berupaya mengawal penularan kes Covid-19 di sektor perkilangan dan pembuatan, sekali gus membantu kelancaran Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sementara itu, laporan kluster baharu KKM menunjukkan peningkatan kluster komuniti. Antara kluster komuniti mencatat kes tinggi dilapor pada 15 Jun di Kuala Lumpur iaitu Kluster Desa Rejang, Titiwangsa dengan 260 kes positif daripada 491 individu disaring. Berikutnya Perumahan Awam Desa Rejang ini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa 18 Jun hingga 1 Julai 2021.

Sarawak melapor satu kluster komuniti pada 16 Jun dengan kes tinggi iaitu Kluster Gran Stumbin, Sri Aman, Sarawak, melibatkan 82 kes positif daripada 620 individu yang disaring.

Kluster melibatkan beberapa buah rumah panjang di penempatan Gran Stumbin, Tanjung Bijat, Sri Aman berpunca dari pergerakan sosial serta kontak rapat dalam kalangan penduduk di kawasan Gran Stumbin selepas menghadiri satu upacara pengebumian di sebuah rumah panjang tersebu 6 Jun lalu.

Dr Noor Hisham dalam kenyataan akhbar KPK mengenai Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) di Malaysia pada Khamis 17 Jun 2021 melaporkan 60 lagi kes kematian, menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 4,202 kes (0.62 peratus).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 7:15 AM