UNTUK beralih ke fasa dua SPP, sebanyak 10 peratus populasi rakyat Malaysia perlu menerima dua dos suntikan vaksin. FOTO BERNAMA
UNTUK beralih ke fasa dua SPP, sebanyak 10 peratus populasi rakyat Malaysia perlu menerima dua dos suntikan vaksin. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ketika kebanyakan negeri bergelut dengan kes harian baharu Covid-19 yang tinggi dan daerah serta lokaliti tertentu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar, tiga negeri di Semenanjung mencatat angka jangkitan rendah.

Sepanjang rangkuman mingguan 26 Jun hingga 1 Julai, Terengganu dan Putrajaya secara konsistennya mencatat kes dua angka sementara Perlis antara satu angka dan sifar kes.

Kelmarin Khamis 1 Julai, Terengganu merekod 50 kes harian baharu (kumulatif 11,251 kes) sementara Putrajaya 10 kes (kumulatif 2,312 kes) dan Perlis 1 kes (kumulatif 595 kes). Perlis pada 29 Jun dan 27 Jun mencatat sifar kes.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa 29 jun dipetik berkata, negeri yang mencatat kes Covid-19 yang rendah berkemungkinan diberi kelonggaran.

Menurut beliau, kerajaan sedang meneliti perkara tersebut dan keputusan akan dibuat selepas segala perincian di ambil kira, termasuk nisbah jangkitan di sesebuah negeri dengan jumlah keseluruhan kes harian seluruh negara.

Malaysia masih di bawah fasa pertama sekatan pergerakan penuh (SPP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN). Untuk beralih ke fasa dua, jumlah kes harian baharu Covid-19 perlu mencapai nilai ambang di bawah 4,000.

Dua lagi faktor diambil kira ialah kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10 peratus populasi Malaysia sudah menerima dua dos suntikan vaksin.

Fasa pertama SPP bermula 1 Jun 2021 sehingga 14 Jun 2021 dan disambung sehingga 28 Jun 2021 mungkin berlangsung sehingga pertengahan Julai 2021. PPN yang terbahagi kepada empat fasa diharap dapat mengembalikan kehidupan harian biasa di negara ini.

Sepanjang rangkuman mingguan ini, angka kes harian baharu berlegar antara 5 ribu hingga hampir mencecah 7 ribu.

Paling tinggi kes harian baharu dilapor di Malaysia pada 29 Mei 2021 iaitu 9,020 kes iaitu sejak kes pertama dikesan di negara ini pada 25 Januari 2020.

Kelmarin Khamis 1 Julai 2021, Malaysia mencatat sebanyak 6,988 kes harian baharu, menjadikan kes kumulatif meningkat kepada 758,967 kes. Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 meningkat kepada 65,453 kes.

Setakat 1 Julai 2021, jumlah kluster aktif meningkat kepada 887. Secara keseluruhannya 2,865 kluster direkod dan 1,978 daripadanya, dilaporkan tamat.

Rangkuman mingguan 26 Jun hingga 1 Julai 2021 berdasarkan data KKM merekod 124 kluster baharu dan 70 atau 56.5 peratus daripadanya kluster tempat kerja.

Daripada 21 kluster baharu yang dilaporkan kelmarin (1 Julai), 11 adalah kluster tempat kerja sementara sembilan kluster komuniti dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Jumlah kes Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang dilaporkan semalam 917 kes dan 445 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dengan 758,967 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 35 (rangkuman mingguan lepas tangga 36) dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Jepun (799,978) dan Hungary (808,160 kes).

Berdasarkan perincian KKM untuk 6,988 kes harian baharu Covid19 yang dilaporkan KKM pada Khamis 1 Julai 2021, Selangor terus mencatat kes empat angka dan menyumbang kes terbanyak iaitu 2,885 kes.

Kes harian baharu masih tinggi di negeri ini menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar dikenakan ke atas daerah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Sepang, Klang, Kuala Selangor, Hulu Langat dan Hulu Selangor, di Selangor dari 3 Julai 2021 hingga 16 Julai 2021.

Kuala Lumpur turut dikenakan PKPD Bersasar ini yang melibatkan beberapa lokaliti berkuat kuasa dari 3 Julai hingga 16 Julai 2021.

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini, kes harian baharu Covid-19 di Selangor seperti berikut: 26 Jun (2,108 kes), 27 Jun (2,212 kes), 28 Jun (1,989 kes), 29 Jun (2,299 kes), 30 Jun
(2,836 kes) dan 1 Julai (2,885 kes).

Sebanyak 91 peratus daripada jumlah kluster di Selangor berkait dengan tempat kerja dan 80 peratus daripadanya kluster kilang sementara 11 peratus lagi kluster tapak binaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika menyatakan perkara berkenaan pada 30 Jun berkata, kluster kilang dan kluster tapak bina itu sebahagian daripada 125 kluster masih aktif di Selangor.

Sebanyak 84 kes kematian dilaporkan kelmarin, menjadikan kes kumulatif yang melepasi angka 5 ribu pada 28 Jun (5001) kepada 5,254 kes (0.69 peratus).

Selangor terus mencatat kes kematian tertinggi sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini seperti berikut: 26 Jun (30 kes), 27 Jun ( 20 kes), 28 Jun (15 kes), 29Jun (43 kes), 30 Jun (22 kes) dan 1 Julai ( 46 kes).

Mengenai perkembangan terkini penularan varian baharu virus SARS-CoV-2, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan kelmarin, antara 23 Jun 2021 dan 30 Jun 2021, sebanyak 28 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 dikesan. Sebanyak 25 kes adalah Variant of Concern (VOC) manakala tiga (3) kes lagi adalah Variant of Interest (VOI) iaitu: 18 kes varian Delta (B.1.617.2); lima (5) kes varian Beta (B.1.351); tiga (3) kes varian Kappa (B.1.617.1) dan dua (2) kes varian Alpha (B.1.1.7).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 7:30 AM