Lebih 1,000 peserta dijangka menyertai Pesta Menjala Ikan Air Tawar Memburu Si Baduk di Estet Ikan Paya Wau, Kampung Kuala Wau.
Lebih 1,000 peserta dijangka menyertai Pesta Menjala Ikan Air Tawar Memburu Si Baduk di Estet Ikan Paya Wau, Kampung Kuala Wau.
Mohd Rafi Mamat

Maran: Lebih 1,000 peserta dijangka menyertai Pesta Menjala Ikan Air Tawar Memburu Si Baduk di Estet Ikan Paya Wau, Kampung Kuala Wau, di sini, Sabtu ini.

Program kali pertama diadakan itu anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Wau dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Pahang.

Pengerusi JPKK Kampung Kuala Wau, Mohd Zurin Md Jais berkata, penganjur menyediakan sebuah motosikal sebagai hadiah bagi kategori ikan terberat.

Menurutnya, terdapat lebih 15 spesies ikan air tawar terdapat dalam Estet Ikan Paya Wau seluas lebih 28 hektar, antaranya lampam, kap rumput, jelawat, kerai, rohu, patin, temalian, haruan dan toman.

"Urusetia pesta berharap program kali pertama diadakan ini mendapat sambutan menggalakkan, sambil bercuti peserta pasti terhibur dengan aktiviti menjala secara beramai-ramai.

"Peserta berpeluang membawa pulang seberapa banyak ikan yang berjaya ditangkap hanya dengan sekali bayar yuran penyertaan," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, pelbagai spesies ikan bersaiz besar berumur lebih dua tahun terdapat di Estet Paya Wau yang dimajukan selepas aktiviti menanam padi tidak lagi dilakukan penduduk setempat.

Mohd Zurin berkata, benih ikan disediakan Jabatan Perikanan Negeri Pahang yang mengadakan pelepasan di perairan umum lebih dua tahun lalu, difahamkan beberapa spesies ikan seperti kap rumput, kap kepala besar dan temalian kini telah mencapai berat lebih enam kilogram seekor.

"Saya berharap peminat aktiviti menjala tidak melepaskan peluang untuk menyertai pesta menjala di Estet Ikan Kuala Wau yang julung kali diadakan di daerah ini, selain dapat membawa pulang pelbagai spesies ikan air tawar sekiranya bernasib baik meraih hadiah motosikal.

"Yuran penyertaan RM70 bagi satu jala, hasil yuran bagi mengisi tabung JPKK Kampung Kuala Wau selain turut diagihkan kepada 40 pemilik petak sawah," katanya.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi di talian 016-4025 958 dan 017-927 6761 (Rizal).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 1:41 PM