Mohd Rafi Mamat


Maran: Jabatan Perikanan Pahang bersedia menambah lebih banyak estet ikan di negeri ini sekiranya terdapat kawasan sesuai dan mendapat permintaan komuniti setempat.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, kini terdapat tujuh estet ikan aktif masing-masing satu di Maran, dua di Lipis dan empat di Temerloh yang mampu menyediakan pelbagai spesies ikan air tawar berkualiti.

Menurutnya, empat estet ikan yang terletak Temerloh iaitu Estet Paya Chempaka seluas 15 hektar, Estet Paya Lanar (25 hektar), Estet Ikan Lubuk Kawah (31 hektar) dan Estet Ikan Kelanau-Bangau Tanjung (50 hektar).

Katanya, dua estet ikan di Lipis ialah Kampung Lalang seluas tiga hektar dan Estet Ikan Empangan Paya Tepual, Kampung Keledek (empat hektar) serta Estet Ikan Kuala Wau, Maran (40 hektar).

"Estet ikan dapat menjadi pusat pemuliharaan dan menambah simpanan ikan air tawar selain menjadi lokasi agro pelancongan yang semakin diminati.

"Ia turut menyediakan sumber makanan terutama kepada mereka yang menggemari pelbagai spesies ikan air tawar," katanya mengulas kejayaan penganjuran Pesta Menjala Ikan Air Tawar Memburu Si Baduk, di Estet Ikan Kuala Wau, di sini, hari ini.

Pesta kali pertama yang diadakan itu menarik penyertaan lebih 1,000 peserta tempatan dan luar Pahang membabitkan aktiviti menangkap pelbagai spesies ikan air tawar menggunakan jala saja.

Abdullah berkata, Estet Ikan Kuala Wau seluas 40 hektar sebelum ini adalah kawasan sawah padi terbiar milik lebih 40 pesawah sebelum dijadikan estet ikan pada 2019 secara kerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Wau.

Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun (2019-2020) jabatan melepaskan sebanyak 326,500 benih ikan spesies lampam sungai, kerai, jelawat, terbul, puyu dan temelian.

Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Kuala Wau, Mohd Zurin Md Jais berkata, terdapat peserta yang datang lebih awal dan bermalam di sini untuk melihat lokasi lubuk tempat ikan berkumpul.

"Kita bercadang menjadikan pesta menjala ini sebagai acara tetap setiap dua tahun sekali, dalam tempoh berkenaan ikan yang dilepaskan mampu mencapai saiz memuaskan.

"Program tradisional berkenaan juga menjadi produk pelancongan di Kampung Kuala Wau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 10:30 AM
IKAN yang ditangkap peserta pada Pesta Menjala Ikan Air Tawar Memburu Si Baduk di Estet Ikan Kuala Wau. FOTO Mohd Rafi Mamat
IKAN yang ditangkap peserta pada Pesta Menjala Ikan Air Tawar Memburu Si Baduk di Estet Ikan Kuala Wau. FOTO Mohd Rafi Mamat