Mohd Rafi Mamat

JABATAN Perikanan Pahang akan menambah dua lagi estet ikan iaitu di Kuala Lipis dan Maran menjadikan enam projek berkenaan di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Azahari Othman berkata, dua estet terbaharu itu di Kampung Lalang, Kuala Lipis dan Kuala Wau, Maran, mampu menghasilkan pelbagai spesies ikan air tawar bagi menambah pendapatan sampingan komuniti setempat.

Katanya, Jabatan Perikanan sedia membantu pihak yang berminat memajukan kawasan paya untuk dijadikan estet ikan di negeri ini.

SEBAHAGIAN peserta menangkap ikan menggunakan jala pada Pesta Menangkap Ikan Estet Air Tawar Paya Lanar Lanchang.  FOTO Mohd Rafi Mamat
SEBAHAGIAN peserta menangkap ikan menggunakan jala pada Pesta Menangkap Ikan Estet Air Tawar Paya Lanar Lanchang. FOTO Mohd Rafi Mamat

“Sekarang ada empat estet ikan di Temerloh iaitu Estet Paya Chempaka seluas 15 hektar, Estet Paya Lanar (25 hektar), Estet Ikan Lubuk Kawah (31 hektar) dan Estet Ikan Kelanau-Bangau Tanjung (50 hektar).

“Estet ikan dapat menjadi pusat pemuliharaan dan menambah simpanan ikan air tawar selain menjadi lokasi agro-pelancongan,” katanya pada Pesta Menangkap Ikan Estet Air Tawar Paya Lanar, Lanchang, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 6:15 AM