PATI yang ditahan PGA8  yang menyorok di dalam semak berdekatan sawah padi di Kampung  Sapi, Jeram Perdah, di sini, kelmarin. FOTO IHSAN Polis
PATI yang ditahan PGA8 yang menyorok di dalam semak berdekatan sawah padi di Kampung Sapi, Jeram Perdah, di sini, kelmarin. FOTO IHSAN Polis
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Seramai 97 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar ditahan anggota Pasukan Gerakan Am ketika mereka menyorok di dalam semak berdekatan sawah padi di Kampung Sapi, Jeram Perdah, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian 12 tengah hari itu, anggota bertugas membuat intipan sebelum mengenal pasti seorang lelaki berjalan kaki sambil membawa bungkusan makanan ke dalam semak berkenaan.

Katanya, suspek yang juga warga Thailand itu, kemudian dilihat menyerahkan makanan terbabit kepada sekumpulan lelaki dan perempuan dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil serbuan mendapati terdapat 78 lelaki dan 19 wanita warga Myanmar yang sedang menyorok dipercayai masuk ke dalam negara secara haram melalui jalan sungai sempadan Malaysia-Thailand.

"Kesemua Pati yang berusia 16 sehingga 58 tahun ini tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk memasuki Malaysia.

"Anggota kemudian menahan kesemua Pati dan tekong untuk dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah bagi siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Sosma.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 11:37 AM