ANGGOTA PGA7 yang sedang bertugas di kawasan sempadan bagi melancarkan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula semalam sehingga 31 Mac 2020. FOTO ihsan PGA7
ANGGOTA PGA7 yang sedang bertugas di kawasan sempadan bagi melancarkan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula semalam sehingga 31 Mac 2020. FOTO ihsan PGA7
Syaherah Mustafa


LEBIH 100 anggota dan pegawai daripada Batalion 7, Pasukan Gerakan Am (PGA7) bersedia di kawasan sempadan dalam tempoh 24 jam susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula semalam hingga 31 Mac ini.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata pihaknya memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dengan kerjasama jabatan lain yang bertugas di sempadan.

Menurutnya, tugasan kawalan terbabit dilaksanakan melalui beberapa pendekatan, antaranya ialah menambahkan kekuatan anggota yang bertugas di semua lokasi Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor, Tumpat dan Bukit Bunga, Tanah Merah.

“Pelaksanaan kawalan di ICQS berbentuk pemeriksaan di pintu masuk atau keluar supaya tiada pelanggaran terhadap Perintah Kawalan Pergerakan berlaku serta memastikan pelaksanaan kawalan ini berjalan lancar.

“Anggota juga membuat kawalan di beberapa pengkalan haram di sekitar kawasan Rantau Panjang, Jeram Perdah dan Kuala Jambu bagi memastikan tiada pembolosan ataupun pergerakkan masuk oleh pihak dari Malaysia mahupun Thailand.

“Setakat ini, PGA7 membuat kawalan di 14 pengkalan haram utama yang dikenalpasti sebagai kawasan panas (hotspot) digunakan rakyat tempatan atau warga asing untuk tujuan memasuki ke negara ini,” katanya.

Antara 14 pengkalan haram terbabit ialah Pengkalan Haram Gergaji, Kedap, Munduk, Jitong, Kualan Jambu, Nibong dan Simpangan.

Azhari berkata, hasil daripada pemantauan mendapati semua rakyat tempatan dan rakyat asing memberikan kerjasama baik dan akur kepada arahan dan nasihat yang disampaikan oleh anggota.

“Saya sendiri menyeru kepada orang ramai supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini sepenuhnya dan juga memberi kerjasama pihak berkuasa untuk melaksanakan arahan tanpa sebarang permasalahan.

“Perkara ini perlu dititik beratkan bagi memastikan penularan wabak Covid-19 ini dapat dikekang daripada terus merebak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 11:58 AM