GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Polis mengesahkan senapang angin yang dirampas dalam kes menembak mati seekor kucing di Bukit Rambai, di sini, kelmarin adalah senjata buatan sendiri.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi berkata, polis turut merampas beberapa alatan dipercayai alat ganti senapang itu berserta 17 peluru penabur semasa pemeriksaan dilakukan di rumah suspek semalam.

"Senapang angin itu dipercayai dibuat oleh si anak sebelum digunakan bapanya untuk menembak kucing itu.

"Setakat ini, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui dari mana suspek belajar membuat senapang angin itu," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan polis memberkas seorang bapa dan anak lelakinya selepas dipercayai terbabit perbuatan menembak mati kucing menggunakan senapang angin di Bukit Rambai, di sini, kerana marah haiwan itu memasuki rumah mereka.

Perbuatan itu terbongkar selepas pemilik kucing membawa haiwan itu yang mengalami muntah darah serta luka di belakang badan ke klinik haiwan untuk rawatan dan doktor mengesahkan ia ditembak hasil penemuan geguli besi di dalam badan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 6:47 PM