FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Seorang lelaki ditahan kerana memiliki selaras senapang angin buatan sendiri pada serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Durian, Tanah Merah dekat sini, jam 6.30 petang semalam.

Suspek berusia 27 tahun ditahan anggota Balai Polis Gual Ipoh.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, pihaknya turut merampas sembilan butir bebola besi dan tiga butir pil yaba dalam poket seluar suspek.

"Senapang buatan angin buatan sendiri berserta 12 butir bebola besi ditemui dalam rumah terbabit.

"Kami turut menemui tiga guni terung di luar rumah suspek dipercayai dicuri di kebun sekitar daerah berkenaan," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati, suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pada masa sama, suspek ditahan bagi membantu siasatan kes curi terung di Bukit Durian membabitkan kerugian hampir RM3,500," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 2:05 PM