Ahmad Hasbi


Seremban: Tidak hanya kehilangan kedua-dua belah kaki malah seorang lelaki turut lumpuh separuh badannya serta berdepan masalah buah pinggang sejak 2014.

Lebih menyedihkan apabila Alemi Abdul Manap, 40, hanya tinggal bersendirian di rumah peninggalan arwah ibunya di Taman Kelab Tuanku Mambau, di sini.

Alemi berkata, kaki kirinya terpaksa dipotong pada 2014 selepas ia membengkak dan bernanah akibat penyakit kencing manis dan darah tinggi.

"Saya kemudiannya mengalami pelbagai komplikasi seperti penglihatan kabur dan masalah buah pinggang. Selepas keluar dari wad, saya diuji dengan masalah rumah tangga dan terpaksa berpisah dengan isteri dan dua anak.

"Tidak lama kemudian bapa saya yang menjadi tempat saya bergantung pula meninggal dunia," katanya tadi.

Alemi berkata, ujian bertimpa-timpa itu menyebabkan semangatnya hilang seketika dan hilang tempat bergantung.

"Saya tidak meletakkan kesalahan di atas bahu bekas isteri berikutan kami berpisah secara baik.

"Dalam tempoh sukar itu, saya tinggal sebatang kara di kampung halamannya di Kuala Pilah sebelum mengalami lumpuh pada bahagian kanan badan. Saya terlantar di hospital selama dua tahun bermula 2018.

"Selain itu, penglihatan semakin kabur kerana tidak pernah membuat rawatan susulan dan kesihatan saya semakin teruk sebelum kaki kanan pula dipotong pada Februari lalu.

"Saya perlu membuat dialisis tiga kali seminggu. Rawatan itu ditanggung baitulmal dan dalam masa sama saya terpaksa membuang air kecil menggunakan tiub air kencing yang dibeli pada harga RM37," katanya yang terpaksa menguruskan diri sendiri menggunakan kerusi roda.

Tambah Alemi, kos perubatan termasuk pengangkutan, lampin pakai buang dan tiub dianggarkan RM800 sebulan namun dia bernasib baik kerana menerima elaun OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh menghubungi Alemi di talian 013-6684618.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 4:02 PM
Alemi Abdul Manap, 40, menunjukkan kedua-dua belah kaki dipotong malah penglihatannya turut terjejas akibat penyakit kencing manis dan buah pinggang yang dihidapinya secara berperingkat sejak 2014, ketika ditemui di rumahnya di Taman Kelab Tuanku, Mambau. FOTO AZRUL EDHAM
Alemi Abdul Manap, 40, menunjukkan kedua-dua belah kaki dipotong malah penglihatannya turut terjejas akibat penyakit kencing manis dan buah pinggang yang dihidapinya secara berperingkat sejak 2014, ketika ditemui di rumahnya di Taman Kelab Tuanku, Mambau. FOTO AZRUL EDHAM