Syaherah Mustafa

Kota Bharu: "Tidak mengapalah, saya sanggup korbankan masa muda demi menjaga abah lumpuh, nenek yang terbaring kaku, dan datuk yang diserang angin ahmar," luah Nur Athirah Mohammad Affendi, 20.

Melihat wajah sayu dan ada masanya digenangi air mata ketika menceritakan kisah hidupnya, sudah cukup menggambarkan perjalanan hidup anak muda itu yang tabah menjaga tiga ahli keluarganya itu seorang diri.

Nur Athirah dibesarkan oleh bapa tunggal, Mohammad Affendi Daud, 38, selepas ibu bapanya berpisah sejak kecil dan menumpang kasih di rumah datuk serta nenek di Kampung Pulau Panjang, Pengkalan Chepa, di sini.

Menurutnya, hidup berubah apabila bapanya ditimpa kemalangan pada 2017, ketika berbaki dua hari lagi dia menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang menyebabkan Mohammad Affendi kini lumpuh dari paras pinggang ke bawah.

"Saya terus diuji lagi apabila nenek, Che Esah Che Mat, 65, yang menjadi tempat saya bermanja terpaksa dipotong kaki akibat kencing manis selain turut menghidap darah tinggi dan masalah jantung. Nenek sekarang hanya terbaring di katil selain matanya juga menjadi kabur.

"Satu-satunya harapan saya iaitu datuk, Daud Yakub, 65, pula diserang angin ahmar selain menghidap lelah yang teruk. Datuk masih boleh menguruskan diri sendiri tetapi perlu dipantau setiap masa kerana bimbang boleh jatuh bila-bila masa sahaja.

"Rutin harian saya setiap hari ialah menguruskan mereka bertiga. Saya akan memandikan nenek dan abah serta menyiapkan makan minum kami sekeluarga," katanya yang mengakui hanya mampu menyediakan lauk telur dan kicap hampir setiap hari.

KELUARGA Nur Athirah Mohammad Affendi dikunjungi wakil Thirdforce, Tuan Zaimah Raja Omar (tengah). FOTO Syaherah Mustafa
KELUARGA Nur Athirah Mohammad Affendi dikunjungi wakil Thirdforce, Tuan Zaimah Raja Omar (tengah). FOTO Syaherah Mustafa

Nur Athirah mengakui bersyukur datuk sempat menyiapkan rumah yang dibina sendiri selama 10 tahun namun kini mereka sekeluarga hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan milik bapa dan neneknya.

Katanya, jumlah itu tidak mencukupi kerana kos bekalan lampin pakai buang untuk bapa dan nenek juga sebanyak RM250 sebulan, manakala selebihnya digunakan untuk makan dan minum selain membayar secara ansuran tunggakan bil elektrik hampir RM1,000.

"Sejujurnya, ada ketika saya menangis sendirian kerana kepenatan selain mengalami sakit belakang namun saya perlu bangkit dan terus kuat demi abah, nenek dan datuk kerana sedar hanya saya harapan mereka memandangkan kami tiada keluarga lain untuk bergantung.

"Saya tidak kisah korbankan masa muda saya kerana apa yang penting mereka bertiga dapat makan dan diurus baik malah saya tidak keluar berjumpa kawan seperti rakan seusia lain kerana khuatir keadaan mereka di rumah.

"Bukan saya tidak mahu bekerja, tetapi saya tidak boleh meninggalkan mereka bertiga di rumah tanpa penjaga kerana hampir semua benda perlu dibantu," luah Nur Athirah yang sanggup melupakan cita-cita untuk menjadi seorang guru.

Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh membantu dengan menyalurkan derma ke akaun bank milik Nur Athirah di nombor 0300141000179922 (Bank Simpanan Nasional).

Nasib Nur Athirah turut mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO) Thirdforce yang turut berkunjung ke rumahnya berjumpa dengan wanita kental terbabit, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 10:35 AM