Redzuan Muharam


Kuantan: Kesedihan Siti Aishah Mohd Rusli yang tidak dapat hadir ke majlis konvokesyen kerana melangsungkan akad nikah serentak pada hari sama terubat apabila menerima kejutan daripada suami dan keluarganya, Sabtu lalu.

Menerusi video yang tular di TikTok, kelihatan suami, Muhammad Fawzy Zakari @ Zakaria, 26, menyarungkan jubah konvokesyen buat Siti Aishah, 26 di atas pelamin.

Manakala, ibu, Faridah Abdullah, 57, dan bapanya, Mohd Rusli Endut, 60, berjalan masuk ke dalam dewan majlis dengan membawa jambangan coklat juga belon serta skrol buat anak mereka yang menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Sains Biomolekul.

Siti Aishah yang juga anak ketiga daripada empat beradik tidak menyangka akan menerima kejutan daripada suami dan keluarganya pada hari bahagianya itu.

"Jujurnya saya sedih sangat tidak dapat hadir ke konvokesyen kerana impian saya adalah naik ke atas pentas mengambil skrol ijazah dengan kepujian Kelas Pertama.

"Seminggu juga menangis namun tak sangka suami dan keluarga berpakat membuat kejutan kerana jubah konvokesyen memang sudah diambil emak awal tetapi ikutkan hanya untuk bergambar dalam studio saja.

"Rupanya, mereka ada perancangan lain dan lebih menarik lagi apabila saya naik pelamin serta menerima kejutan sama waktu dengan sidang Istiadat Konvokesyen yang sedang berlangsung di kampus," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menceritakan perihal pasangan, Siti Aishah berkata, dia dan Muhammad Fawzy berkenalan sejak Tingkatan Dua lagi namun terputus hubungan selepas masing-masing menyambung pengajian ke peringkat Diploma selepas tamat persekolahan.

Ditakdirkan, Siti Aishah yang kini belerja sebagai ahli mikrobiologi bertemu semula dengan suaminya itu selepas mereka menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

"Tak sangka sebenarnya jumpa semula dan belajar di universiti sama.

"Mungkin itu yang dinamakan jodoh dan selepas beberapa lama menjalin hubungan, kami sepakat untuk berumah tangga dengan bertunang dahulu pada November tahun lalu.

"Kemudian, keluarga kedua belah pihak tetapkan tarikh perkahwinan. Banyak ujian dilalui antaranya apabila dua kali and tarikh konvokesyen saya ditangguhkan iaitu pada 2020 dan Mac lalu kerana pandemik Covid-19.

"Tarikh baru konvokesyen pula diumumkan tiga minggu sebelum majlis akad nikah saya tetapi sudah terlambat kerana persiapan sudah dibuat tujuh bulan lebih awal jadi terpaksa teruskan juga walaupun sedih apabila ia jatuh hari yang sama," katanya yang akan menetap di Melaka bersama suaminya selepas ini.

Sementara itu, suaminya, Muhammad Fawzy berkata, dia sengaja berpakat dengan keluarga mentuanya untuk memberi kejutan kepada Siti Aishah bagi memberikan kegembiraan kepada isterinya yang sedih kerana tidak dapat hadir ke majlis konvokesyen.

"Setiap malam saya kena pujuk isteri kerana dia sedih memikirkan hal majlis konvokesyen itu.

"Jadi, saya dan keluarganya cuba rancang kejutan tanpa pengetahuannya dengan membawa 'vibe' (suasana) konvokesyen supaya dia merasakan tidak terlepas detik penting itu.

"Terkejut dan tidak sangka video perkahwinan kami akan tular hingga majlis yang disangkakan ringkas jadi sangat meriah serta eksklusif.

"Tahniah juga kepada isteri kerana bergelar graduan dan saya mohon semua doakan kami bahagia sampai ke akhir hayat," katanya yang bekerja sebagai pembantu jurutera.

IHSAN SITI AISHAH MOHD RUSLI

IHSAN CMI HALL & EVENT SPACE

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 12:32 PM