Maisharah menerima skrol arwah suaminya pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Merlimau Melaka Ke-19. FOTO NURALIAWATI SABRI.
Maisharah menerima skrol arwah suaminya pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Merlimau Melaka Ke-19. FOTO NURALIAWATI SABRI.
Nuraliawati Sabri


Jasin: "Walaupun sedih suami tidak dapat hadir dan mengambil sendiri skrol ini, namun saya bangga dia dapat menamatkan pengajiannya," luah Maisharah Omar, 36, isteri kepada seorang graduan Politeknik Merlimau Melaka (PMM) yang meninggal dunia akibat kanser.

Maisharah, hadir mewakili arwah suaminya, Azhar Rahman, 39, pada Istiadat Konvokesyen PMM Ke-19 di sini, tadi, untuk menerima skrol Diploma Kejuruteraan Elektrik.

Suasana hiba menyelubungi istiadat konvokesyen apabila Maisharah dilihat tidak dapat menahan sedih dan menitiskan air mata apabila nama arwah suaminya diumumkan dan menerima skrol, pada sidang ke lapan.

Menurut ibu kepada empat anak itu, arwah suaminya yang sebelum ini bertugas di sebuah syarikat swasta amat komited untuk menyambung pengajian kerana ditawarkan kenaikan pangkat demi mengubah nasib keluarga.

"Arwah suami memang bersungguh-sungguh mahu menyambung dan habiskan pengajian untuk membolehkan dia menjadi juruteknik, tetapi itulah hanya saya yang naik ke pentas hari ini.

"Sebelum ini arwah seperti biasa sehinggalah dia terjatuh ketika majlis berkhatan anak kedua sebelum dia membuat pemeriksaan dan disahkan menghidap kanser limfoma tahap tiga," katanya.

Menurutnya, arwah suaminya sepatutnya graduasi pada 2020 selepas tamat pengajian pada 2019.

"Mungkin arwah menyangka keadaan kesihatan dia akan bertambah baik kerana tidak memesan apa-apa berkaitan konvokesyen sehinggalah saya diberitahu oleh rakannya baru-baru ini," katanya.

Sementara itu, turut menerima skrol hari ini adalah pelakon dan penyanyi, Muhammad Yassin Mohd Daud, 25, yang meraih Diploma Kejuruteraan Elektrik.

Katanya, walaupun minatnya mendalam dalam bidang elektrikal, rezekinya ke arah bidang industri hiburan namun dia akan mempraktikkan apa yang dipelajarinya sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 6:20 PM