GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerja penggantian injap di jajaran paip air mentah di Empangan Klang Gates yang menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan Wangsa Maju giat dijalankan.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, sehingga 5 petang ini, status kerja penggantian injap pada tahap 79 peratus mengikut jadual.

Beliau berkata, ia dijangka siap sepenuhnya pada 9 malam hari ini dan Air Selangor sudah menggerakkan 29 lori tangki air ke kawasan yang terjejas dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis serta lokasi upacara pengebumian.

"Air Selangor turut menyediakan kemudahan pembelian air kepada pihak industri atau pelanggan komersial dengan membuat pembayaran di kaunter-kaunter Khidmat Pelanggan Air Selangor.

"Pelanggan perlu menyediakan kenderaan atau lori tangki yang disewa sendiri. Pengambilan air boleh dilakukan di dua stesen pengambilan air di Jalan TPP 5/17, Taman Perindustrian Puchong 5/17 dan Stor Air Selangor Hulu Langat, Seksyen 13, Jalan P/4 Bandar Baru Bangi," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Elina berkata, Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut dibuka di sebelah padang bola, Hospital Kuala Lumpur dan kawasan letak kenderaan My Capital, Jalan Jejawi, Bangsar bagi kemudahan pengguna membuat aduan serta berhubung terus dengan pegawai khidmat pelanggan.

Menurutnya, Air Selangor akan terus memaklumkan status bekalan air dari semasa ke semasa menerusi media massa dan semua medium komunikasi rasmi Air Selangor di Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com.

Selain itu, katanya, pihaknya menyarankan pengguna untuk menggunakan air yang disimpan secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 8:30 PM