GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 13 kawasan di sekitar Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan paip pecah di Jalan Kuari, di sini, hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri menerusi kenyataan hari ini, memaklumkan bekalan air ditutup pada 4 petang hari ini bagi pembaikan paip itu yang dijangka siap pada 4 pagi esok.

Beliau berkata, kawasan terjejas adalah Kampung Cheras Baru, Pandan Mewah, Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra dan Taman Mestika.

"Bekalan air akan mula disalurkan semula setelah kerja pembaikan siap sepenuhnya.

"Tempoh masa pemulihan bekalan air berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

"Air Selangor sedang menggerakkan lori tangki ke kawasan terjejas. Pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki itu," katanya.

Menurutnya, pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 10:23 PM