LONGGOKAN kayu getah yang pekerja restoran makanan segera maut. FOTO Ihsan Bomba.
LONGGOKAN kayu getah yang pekerja restoran makanan segera maut. FOTO Ihsan Bomba.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Pekerja restoran makanan segera maut selepas motosikal ditunggang melanggar kayu getah yang terjatuh dari sebuah treler di Kilometer 37 Jalan Klang-Teluk Intan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, mangsa berusia 22 tahun maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan mendapati muatan kayu getah treler dipandu lelaki berusia 40 tahun terjatuh di jalan berkenaan.

Beliau berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda bersendirian dipercayai gagal mengelak beberapa batang kayu terbabit.

"Lelaki itu melanggar kayu berkenaan lalu terjatuh atas jalan.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramli berkata, pemandu treler bagaimanapun tidak cedera.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, sepasukan enam pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikerahkan ke lokasi bagi membersihkan longgokan kayu berkenaan pada 5.17 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 7:12 PM