MAYAT Sin Yong yang ditemui orang awam di dalam parit di Kilometer 60.1 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Batu 7, semalam. FOTO IHSAN PEMBACA
MAYAT Sin Yong yang ditemui orang awam di dalam parit di Kilometer 60.1 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Batu 7, semalam. FOTO IHSAN PEMBACA
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Mayat lelaki ditemui orang awam di dalam parit di Kilometer 60.1 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Batu 7, di sini, 5.13 petang semalam.

Mangsa, Lim Sin Yong, 22, ditemui bersama motosikal ditunggangnya di dalam parit berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, mayat ditemui dalam keadaan tertiarap oleh seorang wanita.

"Siasatan awal mendapati ada kesan luka dan berdarah pada dahi mangsa dipercayai terkena batu semasa jatuh ke dalam parit.

"Turut ditemui, motosikal kira-kira dua meter dari mangsa," katanya, hari ini.

Ramli berkata, hasil temu bual dengan bapa mangsa di tempat kejadian mendapati mangsa keluar dari rumah kira-kira 12 tengah malam semalam dan tidak pulang sehingga ke pagi.

Menurutnya, bapa mangsa mengetahui kejadian itu dari seorang rakan yang memaklumkan mangsa terbabas ketika menunggang motosikal dan tercampak ke dalam parit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 11:11 AM