Sebanyak 130 liter petrol dianggarkan bernilai RM266.50 yang dirampas terhadap sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipunggah seorang penyeludup untuk diseludup ke negara jiran. FOTO IHSAN KPDNHEP
Sebanyak 130 liter petrol dianggarkan bernilai RM266.50 yang dirampas terhadap sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipunggah seorang penyeludup untuk diseludup ke negara jiran. FOTO IHSAN KPDNHEP
Siti Rohana Idris


Tumpat: Demi upah RM30, seorang lelaki tidak serik untuk terbabit dalam kegiatan penyeludupan petrol ke negara jiran, meskipun pernah ditahan pihak berkuasa sebelum ini.

Difahamkan, untuk upah sebanyak itu, dia yang berusia 30-an hanya perlu mengisi petrol dari stesen minyak dan menghantarnya ke lokasi transit dengan upah akan dibayar bagi setiap 'job' yang dilaksana.

Berikutan itu, lelaki berkenaan melakukan kegiatan itu untuk sekurang-kurangnya tiga kali sehari.

Kegiatannya berjaya dikesan semalam, menerusi operasi bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, suspek ditahan di sebuah stesen minyak di Wakaf Bharu ketika sedang mengisi petrol dalam tangki Proton Saga yang sudah diubah suai.

"Ketika ditahan, pemeriksaan segera dilakukan dan menemui barang kawalan iaitu petrol dalam tangki tambahan kenderaan itu yang dianggarkan sebanyak 100 liter.

"Turut ditemui tiga tong plastik berisi minyak dengan anggaran 30 liter dalam kenderaan itu yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azanizam berkata, pihaknya merampas petrol dan kenderaan itu dengan keseluruhannya bernilai RM3,266.50.

Katanya, semakan mendapati suspek pernah didenda atas kesalahan sama sebelum ini, dan akan berdepan hukuman denda lebih tinggi kerana mengulangi kesalahan.

"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa lesen, permit atau kebenaran pengawal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 3:43 PM