Allahyarham Muhammad Adib
Allahyarham Muhammad Adib
Latifah Arifin

my

Kuala Lumpur: Keputusan keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menarik balik rayuan komital terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas tidak sesekali mengubah keputusan dan dapatan Mahkamah Koroner pada 27 September 2019 bahawa beliau meninggal dunia kerana perbuatan jenayah.

Peguamcara mewakili bapa arwah Muhammad Adib, Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates dalam kenyataan hari ini berkata, rayuan itu ditarik balik kerana pihak keluarga tidak mahu memanjangkan lagi perkara berkenaan.

Ia membabitkan dua rayuan oleh bapa arwah Mohd Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa Tommy Thomas mempunyai hak merayu dan rayuannya diterima.

"Keluarga Allahyarham sudah kemudiannya mengarahkan peguamcara untuk menarik balik rayuan yang masih berlangsung di Mahkamah Rayuan, berhubung permohonan mengkomitkan Tommy Thomas atas tuduhan menghina Mahkamah, kerana pihak keluarga tidak lagi mahu memanjangkan perkara ini.

"Susulan daripada arahan keluarga arwah Muhammad Adib agar rayuan bapa arwah Adib ditarik balik, pihak Peguam, melalui Tetuan Mohd Zubir Embong telah memfailkan Notis Menarik Balik Rayuan pada 31 Mei 2022 untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

"Maka dengan itu, pihak keluarga arwah Muhammad Adib menganggap proses dan prosiding penghinaan Mahkamah terhadap Tommy Thomas dan Jabatan Peguam Negara, selesai dan tamat di sini," katanya.

Tambahnya, pihak keluarga Muhammad Adib turut berharap masyarakat dapat menerimanya, sekali gus membolehkan mereka memulakan kehidupan baharu.

Bagaimanapun, tegasnya, ia tidak sama sekali menggugat keputusan dan dapatan oleh Mahkamah Koroner yang mengesahkan bahawa Adib mati akibat dipukul walaupun pembunuhnya tidak dapat ditemui sehingga hari ini.

Katanya, kematian Allahyarham turut disumbangkan oleh kegagalan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal rusuhan.

"Alasan penghakiman setebal 52 halaman oleh Hakim Koroner itu tidak pernah diakas oleh mana-mana Mahkamah yang lebih tinggi, dan dengan yang demikian itu, kekal sebagai dapatan fakta yang autoritatif.

"Pendirian keluarga Allahyarham untuk menarik balik rayuan komital ini juga tidak bererti usaha mencari pembunuh arwah Adib tidak boleh diteruskan oleh PDRM, kerana siasatan jenayah tiada had masa di sisi undang-undang.

"Perjuangan menuntut keadilan untuk seorang anggota kerajaan yang mati dibunuh ketika dalam bertugas menjaga keamanan juga boleh diteruskan oleh mana-mana masyarakat sivil, orang awam, serta badan-badan bukan kerajaan yang prihatin," katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 12:54 PM