FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Pelaksanaan ibadah korban menjelang Aidiladha di Negeri Sembilan dibenarkan namun pemohon atau penganjur perlu membuat permohonan melalui sistem e-qurb@NS.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Bakri Sawir berkata, ia bertujuan memudahkan pemantauan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jheains) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Sembilan.

"Bagaimanapun, ia hanya dibenarkan di rumah penyembelihan, masjid dan surau di seluruh negeri, bagi lokasi persendirian seperti di rumah akan dipertimbangkan JPV Negeri Sembilan.

"Pemohon atau penganjur haruslah membuat permohonan melalui sistem e-qurb@NS di pautan http://equrbans.jheains.my dan boleh dilakukan mulai 2 petang 13 Jun sehingga 4 petang 3 Julai ini," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Penubuhan Parti Amanah Cawangan Kampung Chenor, di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Bakri berkata, pihaknya menjangka berlaku pengurangan penyertaan orang ramai dalam ibadah korban berikutan peningkatan harga haiwan berkenaan.

"Anggaran satu bahagian daging lembu korban adalah RM700 hingga RM750 dengan anggaran harga seekor lembu sekitar RM5,000 hingga RM8,000 bergantung jenis lembu yang dibeli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 1:37 PM