Rosli Ilham


Marang: "Kereta itu secara tiba-tiba terbabas ke kanan jalan dan melepasi pembahagi jalan.

"Saya tekan brek dengan kuat dan gagal mengelak sebelum bertembung dengannya," kata pemandu lori, Hamidi Ismail, selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan kereta di Kilometer 58, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Rhu Kubur, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 11.30 pagi itu, Azman Awang, 56, yang memandu kereta Mazda CX5 maut di lokasi kejadian akibat tersepit di tempat duduk.

Cucunya, Aisy Mateen Mohd Amin, satu tahun lapan bulan dilaporkan parah di bahagian dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit akibat kemalangan di Marang, hari ini. FOTO ROSLI ILHAM
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit akibat kemalangan di Marang, hari ini. FOTO ROSLI ILHAM

Ketika kejadian, Azman bersama cucunya itu dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Rantau Abang untuk membeli barang di sebuah kedai di Kampung Jambu Bongkok.

Hamidi, 41, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke depoh menyimpan lori di Kampung Batu 7, Dungun sebaik selesai melakukan kerja menambun tanah di kawasan Jambu Bongkok.

"Pertembungan kuat itu menyebabkan kereta terbabit mengundur dengan laju dan memasuki semula laluan asal sebelum tersadai di kawasan semak di situ.

"Saya bergegas untuk membantu dan mendapati pemandu kereta itu sudah tidak bernyawa manakala seorang budak lelaki duduk bersebelahan pemandu cedera dan tersepit.

"Orang ramai yang melalui kawasan itu berjaya membawa keluar kanak-kanak lelaki terbabit sebelum dikejarkan ke hospital," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marang, Imran Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.34 tengah hari.

Beliau berkata, seramai 19 anggota termasuk dari BBP Dungun mengambil masa selama 15 minit sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 4:15 PM