Sultan Selangor ketika berangkat melancarkan Festival Bon Odori pada tahun 2016, diiringi Duta Besar Jepun ke Malaysia ketika itu, Dr Makio Miyagawa. FOTO Ihsan Kedutaan Jepun di Malaysia.
Sultan Selangor ketika berangkat melancarkan Festival Bon Odori pada tahun 2016, diiringi Duta Besar Jepun ke Malaysia ketika itu, Dr Makio Miyagawa. FOTO Ihsan Kedutaan Jepun di Malaysia.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, berpandangan bahawa Festival Bon Odori yang sudah diraikan di Malaysia sejak berpuluh tahun lalu adalah satu perayaan kebudayaan.

Menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook Selangor Royal Office, baginda bertitah, festival berkenaan diraikan bagi mengeratkan semangat muhibah antara rakyat Malaysia dengan komuniti Jepun yang bekerja dan bermastautin di negara ini.

Ia menjadi popular apabila banyak syarikat-syarikat dari Jepun melabur dan membuka cawangan kilang mereka di Selangor.

Justeru, titah baginda, Bon Odori menjadi platform memperkenalkan budaya hiburan Jepun selain merapatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara yang mempamerkan budaya tradisional rakyat Jepun khususnya tarian, persembahan gendang, perhiasan tanglung, pakaian dan makanan tradisi Jepun serta produk makanan tempatan.

Selain itu, ia juga dipromosikan sebagai hari untuk menyatukan kembali keluarga dan rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu.

"Baginda sendiri pernah menghadiri sambutan perayaan itu pada 2016 dengan diiringi oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia dan menerusi pemerhatian baginda, sambutan Bon Odori tidak melibatkan upacara berbentuk keagamaan atau ritual (syirik) yang boleh memesongkan akidah mereka yang hadir menyaksikan.

"Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin sudah menitahkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan wakil Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke festival tersebut bagi mendapatkan gambaran sebenar dan memastikan sambutannya tidak merosakkan akidah umat Islam," kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Sultan Selangor bertegas bahawa apa saja bentuk budaya yang diamalkan oleh setiap masyarakat di dunia sememangnya ada hubung kait dengan agama.

Bagaimanapun, seiring dengan peredaran zaman, amalan-amalan budaya ini tidak lagi menonjolkan ciri-ciri keagamaan.

"Baginda tidak mahu pihak-pihak tertentu, khususnya ahli-ahli politik menggunakan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama sebegini untuk kepentingan peribadi dan meraih populariti semata-mata dan mereka digesa agar tidak sewenang-wenangnya melabelkan sesuatu perkara itu negatif tanpa membuat kaji selidik yang mendalam.

"Mereka juga perlu berlaku adil dalam membuat apa jua kenyataan umum yang melibatkan keharmonian bermasyarakat.

"Sultan Sharafuddin mencadangkan agar Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) (Datuk Idris Ahmad) untuk hadir ke festival berkenaan pada 16 Julai ini supaya dapat memahami perbezaan di antara agama dan budaya.

"Malah, baginda juga tidak mahu beliau (Idris) menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membuat kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat serta boleh menjejaskan imej dan reputasi Jakim," titah baginda.

Menurut kenyataan, baginda turut berharap supaya rakyat Selangor yang berbilang bangsa akan terus dapat hidup bertoleransi dalam suasana muhibah dan harmoni.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 12:13 PM