Mohd Iskandar Ibrahim


Kuala Lumpur: Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) yang akan berlangsung di Langkawi, 23 hingga 27 Mei tahun depan, dijangka menarik sekurang-kurang 600 syarikat pempamer membabitkan 20 negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, LIMA edisi kali ini amat dinanti bukan sahaja oleh Malaysia selaku penganjur, tetapi juga pempamer, delegasi antarabangsa dan orang awam selepas penganjuran terakhir pada 2019.

"LIMA tertunda disebabkan pandemik Covid-19 dan keputusan supaya ia dapat dianjurkan kembali ialah berdasarkan kejayaan penganjuran Defence Services Asia (DSA) pada Mac lalu serta kebersediaan negara selepas memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.

"Mengambil kira maklum balas semasa yang Malaysia terima daripada rakan antarabangsa setakat ini, dijangka berlaku peningkatan seterusnya berpotensi menjadikan jumlah pempamer, astaka negara terbabit, pelawat perdagangan dan awam, tetamu serta aset di LIMA 2023 sebagai yang terbesar pernah direkodkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran LIMA '23 di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Mengulas lanjut, Hihamuddin berkata, terdapat beberapa pembaharuan yang bakal dapat disaksikan pada LIMA '23.

Antaranya, pengenalan segmen pertunjukan dan perlumbaan dron, menampilkan segmen teknologi angkasa, Forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Penerbangan, program menyeluruh untuk remaja termasuk berkaitan pendidikan.

"Selain itu ada segmen kerjaya serta pertandingan permainan elektronik (e-Games) dan segmen wanita dalam pertahanan.

"Ini tidak termasuk segmen keselamatan siber dalam industri penerbangan serta maritim dan semestinya pameran aset serta pertunjukan udara yang terbaik dalam sejarah," katanya.

Hishammuddin berkata, bagi memastikan kelancaran LIMA, penganjurannya akan sekali lagi diselaraskan bersama oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan.

"Syarikat Alpine Integrated Solution Sdn Bhd pula dilantik sebagai penganjur bersama LIMA 2023.

"Tidak sekadar itu, saya bersama Menteri Pengangkutan akan memastikan setiap aspek persiapan diteliti dan diperincikan dengan sebaik mungkin sekali gus dapat dirasai impaknya semasa hari penganjuran sebenar nanti," katanya.

Sementara itu, Wee berkata, penganjuran LIMA adalah platform terbaik untuk merancakkan kembali sektor komersial maritim serta aeroangkasa yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dengan kerjasama bersama kementerian dan agensi serta semua pemegang taruh berkaitan.

Katanya, sektor komersial maritim dan aeroangkasa yang berpotensi untuk diketengahkan merangkumi perkhidmatan dan produk utama, teknologi, akademik serta peluang pekerjaan.

"Berdasarkan kepada perkembangan dan trend semasa, Malaysia memperlihatkan peningkatan dalam industri dron dengan sekurang-kurangnya 200 syarikat dron dikenalpasti beroperasi di negara ini.

"Terdapat syarikat tempatan ini yang menjadi peneraju dalam industri dron dan syarikat terbabit boleh mengambil platform ini untuk mengembangkan lagi potensi perniagaan masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia perlu mengambil peluang dalam industri pembinaan dan pembaikan kapal yang keseluruhannya bernilai lebih dari RM 15.3 billion.

"Sektor ini terdiri daripada sektor minyak dan gas, perikanan, kapal persiaran, pelabuhan serta sektor sokongan yang lain.

"Berdasarkan statistik daripada pihak Jabatan Laut, hampir 100,000 kapal melalui Selat Melaka tahun lalu menjadikan antara laluan tersibuk dunia yang mengendalikan kira-kira 25 peratus barangan dagangan global," katanya.

HISHAMMUDDIN dan Wee menyaksikan majlis menandatangani MoU pada prapelancaran LIMA 2023 di Auditorium Wisma Pertahanan. FOTO  Mohamad Shahril Badri Saali.
HISHAMMUDDIN dan Wee menyaksikan majlis menandatangani MoU pada prapelancaran LIMA 2023 di Auditorium Wisma Pertahanan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 4:36 PM