Norizuan Shamsuddin


PAMERAN Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19) di Pulau Langkawi dari 26 hingga 30 Mac ini menerima sambutan luar biasa berikutan tempahan ruang pameran menjangkau 104 peratus.

Kementerian Pertahanan menerusi satu kenyataan memaklumkan, setakat hari ini, peratusan tempahan ruang pameran menjangkau 104 peratus dengan jumlah keseluruhan tempahan ruang pameran seluas 10,519 meter persegi terdiri daripada 350 syarikat pempamer tempatan dan antarabangsa membabitkan 29 negara.

Katanya, LIMA 19 turut menerima penyertaan 12 Pavilion Negara iaitu Australia, Belarus, China, Perancis, Jerman, Jepun, Rusia, Slovakia, Turki, Ukraine, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Penyertaan ini membuktikan minat dan keyakinan tinggi syarikat industri pertahanan untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi mengukuhkan kerjasama dengan industri sedia ada dan juga menarik lebih ramai pemain industri antarabangsa.

“Buat julung kalinya, LIMA 19 tahun ini yang juga edisi ke-15 dalam sejarah penganjurannya, akan dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan dengan tema ‘Defence and Commercial Connecting Intelligence’.

‘Kerjasama kedua-dua kementerian pada LIMA 19 kali ini adalah bagi membuka lebih banyak ruang penyertaan sektor komersial dan pada masa sama memperkukuh segmen pertahanan aeroangkasa dan maritim sedia ada.

‘Istimewa pada penganjuran kali ini, LIMA ‘19 akan dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang juga pencetus kepada penganjuran pertama pameran berprestij ini pada 1991 ketika beliau sebagai Perdana Menteri ke-4 ketika itu,” katanya.

Menurutnya, pameran itu akan dilaksanakan di dua lokasi utama iaitu Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) bagi pameran, persidangan antarabangsa, seminar, pameran statik dan pertunjukan udara.

Sementara Resort World Langkawi (RWL) pula bagi pameran kapal perang, pameran statik maritim dan demonstrasi maritim.

“Pameran di MIEC dibuka kepada pelawat awam pada 29 dan 30 Mac ini, manakala pameran segmen maritim di RWL pula dibuka kepada semua dari 26 hingga 30 Mac 2019,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 9:51 PM