ANTARA buah  bambangan  yang dijual di tamu pekan Tamparuli. FOTO Lano Lan
ANTARA buah bambangan yang dijual di tamu pekan Tamparuli. FOTO Lano Lan
Mohd Izham Unnip Abdullah

Tamparuli: Selain durian isi merah dan kuning atau dalit, bambangan atau nama saintifiknya Mangifera pajang antara buah eksotik yang mendapat permintaan tinggi setiap kali tibanya musim buah di Sabah.

Isinya berwarna kuning keemasan memiliki rasa masam manis yang unik seakan-akan mangga sesuai dimakan begitu saja, selain dibuat sambal atau jeruk supaya dapat disimpan lama dan dijadikan penambah rasa dalam masakan.

Buah dengan kulit berwarna coklat itu boleh ditemui di seluruh negeri ini kebanyakannya dijual di tamu mingguan, pasar malam atau gerai tepi jalan terutama musim buah yang bermula sejak awal bulan ini dan dijangka berterusan sehingga Oktober.

Saiz buah bambangan diukur mengikut berat, kebiasaannya sebiji antara 500 gram hingga satu kilogram (kg) dan dijual antara RM1 hingga RM5 sebiji namun di tamu pekan Tamparuli di sini, ada bambangan bersaiz ‘gergasi’ seberat 3kg sebiji dengan harga RM15.

Peniaga, Joana Pedtung, 38, berkata, walaupun saiz bambangan dijualnya luar biasa, ia tiada beza berbanding bambangan lain namun lebih banyak isi dan sesuai untuk dibuat jeruk.

“Rasanya sama saja, ada masam dan manis, tetapi kalau mahu buat jeruk, ini yang bagus kerana isinya tebal dan dapat banyak apabila dihiris sebelum diperam di dalam bekas. Kalau sudah dijadikan jeruk harganya lebih mahal,” katanya.

Isi bambangan yang dijadikan jeruk biasanya diperam bersama biji yang sudah diparut dan ditambah garam untuk menjadikannya tahan lama dengan ada antaranya boleh bertahan hingga setahun.

Bundu atau belunu adalah satu lagi buah eksotik yang hanya ditemui ketika musim buah, kebanyakannya di pantai barat dan pedalaman Sabah dengan pokok biasanya berbuah serentak dengan pokok buah bambangan dan buah eksotik lain.

Di tamu pekan Tamparuli, peniaga dari Kampung Kapa di sini, Lupini Musi, 47, menjual buah berkenaan antara RM5 hingga RM10 satu tompok mengandungi antara empat hingga 10 biji.

“Pokok bundu jarang berbuah tetapi biasanya ia berbuah serentak dengan buah lain seperti bambangan.

“Rasanya masam manis dan biasanya dimakan begitu saja. Namun perlu berhati-hati menghiris isinya jangan sampai terkena biji nanti ‘bunduon’,” katanya.

Bunduon bagi masyarakat Dusun bermaksud ditimpa penyakit seperti kudis atau timbul ruam di badan selepas memakan buah berkenaan jika terhiris bijinya yang bergetah, namun ia biasanya hanya menimpa mereka yang dipercayai kurang antibodi.

Bundu dikenali sebagai binjai di Semenanjung tetapi bezanya rasa buah berkenaan di Sabah lebih manis dan mempunyai pelbagai jenis atau varieti seperti bujur dan bulat dengan warna kehijauan atau coklat.

 BUAH belunu.FOTO Lano Lan
BUAH belunu.FOTO Lano Lan

Seperti biasa setiap kali musim buah di Sabah, dalit atau durian isi merah, jingga dan kuning antara spesies raja buah yang mendapat permintaan tinggi menjadikan harganya melambung terutama pada awal dan akhir musim.

Di tamu Tamparuli yang beroperasi pada setiap Rabu, satu tompok dalit isi jingga dijual peniaga dari Kampung Gontung di sini berharga RM15 mengandungi empat biji pelbagai saiz.

Harga itu boleh dikatakan murah berbanding harga pasaran awal musim ketika ini iaitu antara RM30 hingga RM50 sekilogram yang dijual di Kota Kinabalu disebabkan pengeluarannya masih kurang, selain dibawa masuk dari luar daerah seperti Sipitang.

Peniaga, Lucy Sindolun, 50, berkata, dalit mempunyai pelbagai gelaran atau panggilan berdasarkan jenis atau warna isinya seperti ‘marahang’ bagi isi merah dan ‘korobundui’ bagi dalit isi jingga ditanam di kebunnya.

 BUAH dalit. FOTO Lano Lan
BUAH dalit. FOTO Lano Lan

Satu lagi buah eksotik yang tidak kurang peminatnya di negeri ini ialah tarap atau ‘timadang’ bagi masyarakat Dusun yang kini dijual mengikut saiz antara RM5 hingga RM15 sebiji.

Buah yang isinya berwarna putih dan berulas seperti cempedak atau nangka itu boleh dijadikan sayur ketika masih muda sama seperti sayur nangka muda dan sangat sesuai dimasak gulai bersama ikan masin.

BUAH tarap.FOTO Lano Lan
BUAH tarap.FOTO Lano Lan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 10:06 AM