Pelanggan membeli mengikut giliran di dusun milik James Wong di Sungai Pinang, dekat sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Pelanggan membeli mengikut giliran di dusun milik James Wong di Sungai Pinang, dekat sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


SEKITAR daerah Barat Daya khususnya Balik Pulau pasti meriah dengan kunjungan orang ramai setiap kali musim durian.

Pada tahun ini, musim raja buah itu tiba lebih awal iaitu sejak April lalu dan berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berikutan pergerakan terhad, musim durian hanya dinikmati penduduk di Pulau Pinang namun masih meriah dengan aktiviti penawaran di sekitar daerah berkenaan.

Berbeza kali ini apabila penggemar tidak dapat menikmati durian di dusun serta perlu membeli dan bawa pulang untuk dinikmati di rumah.

Pemilik dusun durian di Sungai Pinang, James Wong, 55, berkata, musim durian kali ini bermula lebih awal berbanding penghujung Mei seperti kebiasaannya.

Berikutan dalam tempoh PKPB, James berkata, dusunnya seluas lima hektar itu hanya dikunjungi pelanggan sekitar Pulau Pinang.

"Saya juga turut menjual secara dalam talian atau telefon sahaja, kami akan hantar sampai ke rumah pelanggan, begitu juga kepada peraih dan pemborong.

"Dahulu, pelancong asing juga ramai yang makan durian di dusun ini dan kebanyakannya ialah pelancong dari negara China dan Indonesia," katanya kepada Harian Metro, di sini.

Difahamkan dusun James mempunyai lebih 100 pokok durian terdiri lebih 20 jenis seperti udang merah, musang king dan duri hitam.

Mengulas lanjut James berkata, setiap hari dia menjual sehingga 300 kilogram (kg) durian dan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebanyak 500 kg.

Manakala durian yang kurang 'menjadi' pula diproses bagi dijadikan lempuk.

"Buah juga banyak pada musim ini dengan harga yang dijual antara RM40 sekilo bagi musang king, duri hitam RM60, manakala durian kampung RM6 sekilogram.

"Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) juga turut mengambil pendekatan menyediakan platform jualan durian dalam talian sejak April lalu," katanya lagi.

Inisiatif itu diambil supaya durian berkenaan dapat dijual walaupun semasa tempoh PKP yang mana gerai penjaja tepi jalan tidak dibenarkan beroperasi.

Sementara itu, penduduk dari Permatang Pasir, Azahari Ahmad, 55, berkata berikutan lokasi yang tidak sesuai untuk makan di dusun bersama keluarga pada tempoh ini, dia hanya membeli dan membawa pulang ke rumah.

Juruteknik itu berkata, dia membeli beberapa biji durian pada harga RM265, bagi dinikmati bersama enam lagi ahli keluarganya.

"Musim durian memang waktu yang ditunggu, memandangkan amalan berkunjung sudah tidak dibenarkan, anggap sahaja ini cara kami menghabiskan waktu bersama keluarga.

"Setiap tahun Balik Pulau memang meriah, sesak dengan kenderaan dari luar Pulau Pinang sekaligus memberi peluang kepada penduduk menjana pendapatan," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 7:20 PM