Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Seorang lelaki ditahan polis berhubung kes wanita yang mati dibunuh dan dibakar di kawasan tepi sungai di Kampung Talang Hulu, dekat Simpang Lawin, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Nior Faridalathrash Wahid berkata, suspek adalah teman lelaki kepada mangsa yang dipanggil polis pada Rabu lalu untuk memberi keterangan.

Beliau berkata, perintah reman terhadap suspek berusia 20 tahun itu juga sudah diperoleh selama tujuh hari bermula hari ini.

"Suspek akan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 10 Jun ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang wanita ditemukan dibunuh dan dibakar di kawasan tepi sungai di Kampung Talang Hulu, dekat Simpang Lawin.

Mangsa dilaporkan mati disebabkan trauma tumpul di bahagian kepala serta disebabkan parah akibat kebakaran berdasarkan hasil bedah siasat.

Identiti mayat wanita itu dikenal pasti susulan pengecaman dilakukan oleh adik lelaki mangsa.

Untuk rekod, mayat wanita dengan kesan terbakar itu ditemukan kira-kira jam 3.05 petang Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 5:45 PM