Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis menafikan wanita yang mati dibunuh dan dibakar di tepi sungai di Kampung Talang Hulu dekat Simpang Lawin, Kuala Kangsar pada minggu lalu mengandung selain dirogol seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ia berdasarkan kepada laporan bedah siasat terhadap mayat wanita berusia 21 tahun itu.

Berkenaan dakwaan mangsa dirogol, beliau berkata, pihak yang mendakwa sedemikian berkemungkinan besar keliru dengan kejadian hampir serupa yang berlaku di India apabila seorang wanita dirogol secara berkumpulan sebelum dibakar sehingga mati.

"Dari hasil bedah siasat, tiada laporan daripada pegawai perubatan yang mengatakan mangsa mengandung dan sebagainya (dirogol), sebaliknya dakwaan sedemikian hanya spekulasi berlegar di media sosial.

"Saya juga difahamkan ada kes wanita dirogol berkumpulan sebelum dibakar di India yang mana ia jelas tiada kaitan dengan kejadian di Kuala Kangsar," katanya ketika sidang media selepas merasmikan pembukaan Bilik VVIP di Restoran Nasi Kandar Vanggey, Greentown Business Centre di sini, hari ini.

Menurutnya, Mahkamah Majistret Kuala Kangsar juga membenarkan suspek kes itu iaitu teman lelaki mangsa berusia 20 tahun disambung reman selama enam hari lagi sehingga 16 Jun ini selepas tempoh reman tujuh hari terhadapnya yang bermula 4 Jun lalu berakhir hari ini.

Katanya, empat lagi lelaki yang juga suspek kes itu yang berusia antara 20 hingga 22 tahun masih dalam tempoh reman tujuh hari bermula Selasa lalu hingga Isnin ini selepas disyaki bersubahat dalam kejadian itu.

Mior Faridalathrash berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif kejadian selain mengakui teman lelaki mangsa yang ditahan itu masih belum boleh dikategorikan sebagai suspek utama kes.

"Setakat ini, kita tidak boleh lagi katakan dia adalah suspek utama kes ini, ia memandangkan siasatan kita mendapati mangsa sebelum ini kebiasaannya hanya keluar rumah bersama dengan ahli keluarga dan teman lelakinya sahaja," katanya.

Selasa lalu, Mior Faridlalathrash mengesahkan mengenai penahanan empat suspek berhubung pembunuhan wanita itu selepas penahanan suspek pertama iaitu teman lelaki mangsa.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita dilaporkan mati disebabkan trauma tumpul di kepala serta disebabkan parah akibat dibakar.

Seketul batu konkrit yang mempunyai kesan darah dijumpai berhampiran mayat wanita itu yang dipercayai digunakan bagi mencederakan kepalanya berikutan terdapat kesan luka bahagian kanan atas kepala pada mayat.

Mayat wanita dengan kesan terbakar itu mula ditemukan kira-kira jam 3.05 petang Selasa minggu lalu, dipercayai dibunuh dan dibakar di lokasi sama ditemukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 2:44 PM