Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Hasil bedah siasat terhadap mayat wanita yang dibunuh dan dibakar di Kampung Talang Hulu, dekat Simpang Lawin, di sini, Selasa lalu mendapati mangsa maut disebabkan hentakan di kepala dengan kesan melecur.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, berdasarkan pemeriksaan pergigian, kemungkinan besar mangsa adalah individu yang pernah dilaporkan hilang.

"Hasil post mortem yang dijalankan Pakar Perubatan Forensik di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, semalam mendapati sebab-sebab kematian adalah 'blunt trauma to the head with severe burns,'" katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mior Faridalathrash berkata, batu konkrit dengan kesan darah yang dipercayai digunakan bagi mencederakan mangsa dijumpai berhampiran mayat wanita berkenaan.

Identiti mayat wanita berusia 21 tahun itu sebelum ini dikenal pasti susulan pengecaman dilakukan lelaki berusia 19 tahun yang mendakwa sebagai adik kepada wanita berkenaan.

Polis juga sudah memanggil teman lelaki mangsa berusia 20 tahun untuk memberi keterangan, Rabu lalu bagi membantu siasatan namun belum ada sebarang tangkapan dibuat.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 12:38 PM