GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Penduduk di 17 kawasan di daerah Sabak Bernam sekali lagi berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual buat kali kedua apabila paip pecah berhampiran Ladang Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Jalan Sungai Panjang, hari ini.

Menerusi aplikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), pihaknya terpaksa menutup bekalan air pada 10 malam ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan.

Katanya, 17 kawasan terbabit ialah seluruh kawasan Sabak Bernam, Sungai Besar, Sungai Haji Dorani, Simpang Lima, Sungai Nibong, Pasir Panjang, Panchang Bedena, Tebuk Pulai dan Bagan Terap.

Turut terjejas, Sekendi Sungai Pulai, Banting, Tebuk Jawa, Bagan Nakhoda Omar (BNO), Sungai Air Tawar, Parit Baru dan Sungai Lang.

"Proses kerja pembaikan sedang berlangsung dan segala usaha diambil bagi mempercepat kerja-kerja pembaikan serta meminimumkan impak gangguan kepada pengguna yang terjejas.

"Status terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa. Sasaran awal kerja siap pada 10 pagi esok (Jumaat).

"Untuk bantuan kecemasan, sila hubungi kami di talian 15300. Segala kesulitan amatlah dikesali," katanya, di sini.

Media pada 26 Mei lalu melaporkan daerah ini mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan kejadian yang sama, namun di lokasi yang berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 11:35 PM