GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Seorang bapa mengemukakan saman terhadap Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan enam yang lain kerana didakwa cuai sehingga menyebabkan dua anaknya dilarikan bekas isteri ke New Zealand empat tahun lalu.

Mohd Saleem Mohammad Aslam dan kakaknya, Kalsum selaku plaintif menamakan antaranya Ketua Pengarah JIM, Pengarah Inigresen KLIA dan agensi itu termasuk bekas isterinya Faith Kimberly Hepburn @ Ashalina Abdullah sebagai defendan.

Saman itu difailkan melalui Tetuan Haziq A Subhi & Co di Mahkamah Tinggi pada 10 Mei lalu.

Mohd Saleem berkahwin dengan Kimberly atau nama Islamnya Ashalina Abdullah pada 27 Jun 2012 dan dikurniakan dua anak, Raheel Khan dan Aleya Reyhana masing-masing berusia 10 dan lapan tahun, bagaimanapun mereka bercerai pada Oktober 2016.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif berkata permohonan Ashalina untuk mendapat hak penjagaan anak pada 2017 dibatalkan oleh mahkamah syariah selepas beliau menghilangkan diri dan tidak hadir pendengaran.

Mereka berkata, pada tahun 2018, kedua-dua anak itu yang tinggal bersama mereka mula bersekolah dan plaintif mengingatkan kepada tenaga pengajar bahawa hanya bapa dan ahli keluarga dibenarkan mengambil dan menghantar kanak-kanak terbabit.

Bagaimanapun, pada 8 Mac 2018 plaintif berkata mereka dimaklumkan oleh tenaga pengajar bahawa kedua anak itu diambil oleh Ashalina untuk mendapatkan rawatan gigi.

Plaintif berkata, susulan itu mereka membuat dua laporan polis dan memaklumkan kepada JIM kerana dikhuatiri kanak-kanak terbabit dibawa lari keluar negara oleh Ashalina dan kekasihnya seorang warga Kazakhstan Atabek Yechshanov.

Mereka mendakwa Ketua Pengarah JIM, Pengarah Imigresen KLIA dan JIM cuai apabila mereka (plaintif) mendapati bahawa dua kanak-kanak itu telah dilarikan oleh Ashalina tanpa sebarang justifikasi dan dokumen sah, selain dokumen yang digunakan mengandungi pemalsuan beberapa maklumat.

Katanya, ketiga-tiga defendan itu juga membenarkan dua kanak-kanak keluar daripada negara ini dengan menggunakan pasport New Zealand tanpa sebarang pemeriksaan terperinci mengenainya.

"Akibat kecuaian itu, kami dan keluarga berhadapan pelbagai kesusahan dan kerugian kos, masa, tenaga dan sumber kewangan kerana perlu menyelesaikan tuntutan hak jagaan di mahkamah di New Zealand dan kesemua ini adalah berpunca daripada kesan kecuaian dan kegagalan kesemua defendan," kata mereka.

Sehubungan itu, kedua-dua plaintif menuntut antaranya ganti rugi am RM25 juta, ganti rugi khas sebanyak RM404,265.39 daripada kesemua defendan, ganti rugi tauladan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Mahkamah Tinggi menetapkan pada 22 Jun ini bagi pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 7:01 PM