AMAR menjaga ibu mentuanya.
AMAR menjaga ibu mentuanya.
Redzuan Muharam


Mersing: Selepas pemergian ibu bapa kandung, Mohamad Amar Amirul Salim hanya mempunyai adik beradik, isteri, tiga anak dan keluarga mentua sahaja untuk menumpang kasih.

Disebabkan itu, Mohamad Amar Amirul, 32, yang menetap di Taman Nelayan, di sini, menjaga keluarga dengan sebaiknya bukan hanya anak dan isteri, Zunika Asma Mohamed, 36, tetapi juga ibu mentua, Asma@Maznah Sulong, 77, yang kini sudah uzur dan tidak boleh berjalan sejak awal tahun ini.

Menurut Mohamad Amar Amirul, ibu mentuanya kini dijaga kakak iparnya, Ramlah, 59, di Taman Wawasan, di sini, namun dia turut sama membantu menguruskan dan menghantar menjalani pemeriksaan di klinik atau hospital kerana tinggal berhampiran.

Kisah Mohamad Amar Amirul yang juga anak kedua daripada empat beradik mendapat perhatian selepas dia memuat naik video mengangkat ibu mentuanya keluar dari kereta, baru-baru ini di TikTok miliknya @90angah.

"Ayah (Salim Raif) meninggal dunia kerana gastrik ketika saya berusia 10 tahun manakala emak (Fathimah Khatiman) pula empat tahun lalu akibat strok dan diabetes.

"Saya pernah berhenti sekolah ketika di Tingkatan Dua untuk menjaga emak sebelum bersekolah semula semasa Tingkatan Empat.

"Pengalaman menjaga arwah emak yang menyebabkan saya sudah terbiasa menguruskan orang sakit jadi tiada masalah walaupun yang dijaga kini adalah ibu mentua," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi pengalamannya, Mohamad Amar Amirul berkata, setiap kali menjaga dan menguruskan ibu mentuanya, hatinya akan tersentuh kerana terkenangkan ibunya yang sudah meninggal dunia.

"Jujurnya, setiap kali membantu ibu mentua, saya akan menangis. Ini kerana kebanyakan rutin saya dengan ibu mentua sama seperti ketika menjaga arwah emak dahulu.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana diberi kesempatan berbakti kepada ibu mentua kerana serba sedikit dapat menghilangkan kerinduan terhadap emak dan ayah yang sudah tiada," katanya yang kini mencari rezeki sebagai peniaga minuman menerusi pernigaaan diberi nama Air Basah Tekak di Tanjung, di sini.

Mohamad Amar Amirul berkata, setakat ini, isteri memberi galakan, malah adik-beradik iparnya turut sama membantu cuma ada di antara mereka tidak dapat bersama setiap waktu kerana tinggal berjauhan.

Sebagai menantu, Mohamad Amar Amirul tidak pernah rasa terbeban, malah akan terus membantu selagi termampu.

"Mengenai perkongsian di TikTok pula, saya tidak sangka akan mendapat perhatian luar biasa.

"Setakat ini, tiada kecaman malah rata-rata netizen memberi komen yang positif dan ramai juga tersentuh, namun niat saya bukan untuk menunjuk kebaikan dilakukan.

"Sebaliknya, saya amat berharap video itu dapat memberi mesej positif dan peringatan kepada individu yang masih ada ibu bapa untuk terus berbakti kepada orang tua mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 3:52 PM