GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Rafi Mamat


Pekan: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) menyasarkan untuk mengagihkan zakat sebanyak RM200 juta kepada golongan asnaf tahun ini.

Pengarah Bahagian Agihan Zakat Muip Muhammad Hafidz Abdul Halim berkata, dalam tempoh lima bulan tahun ini, pihaknya sudah mengagihkan kira-kira RM100 juta.

Menurutnya, kutipan zakat fitrah tidak rasmi di Pahang pada Ramadan tahun ini berjumlah RM7.6 juta, meningkat berbanding RM7.2 juta pada 2019.

Katanya, kutipan tertinggi zakat membabitkan Kuantan yang mencatatkan lebih RM2 juta.

"Alhamdulillah, kutipan zakat fitrah tidak rasmi tahun ini meningkat berbanding 2019," katanya pada program Hari Bertemu Pelanggan Muip di Dewan Syarahan Muip di sini, semalam.

Beliau berkata, Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang sentiasa berusaha memberi kesedaran terhadap kepentingan membayar zakat dalam kalangan usahawan, penjawat awam dan swasta di negeri ini.

"Hari ini, semakin ramai tampil membayar zakat pendapatan. Semakin ramai pembayar zakat, semakin ramai asnaf menerima bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 1:53 PM