PEMANGKU Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) menerima replika cek daripada wakil FGV Holdings Berhad pada Majlis Serahan Zakat di Istana Abdulaziz, Kuantan. FOTO Ihsan PKZ Pahang

Asrol Awang

Kuantan: Kutipan zakat harta di negeri ini meningkat 4.8 peratus kepada RM112.3 juta sehingga 30 November lalu berbanding RM107.1 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, jumlah pembayar juga meningkat iaitu 85,326 berbanding 83,723 orang bagi tempoh sama.

"Penyumbang terbesar kutipan zakat harta diperoleh daripada potongan gaji berjumlah RM54.1 juta manakala bayaran daripada badan korporat serta sektor perniagaan berjumlah RM28.3 juta," titah baginda hari ini.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bertitah, kutipan zakat harta disasarkan berjumlah RM150 juta berbanding RM143.4 juta tahun lalu, dengan sasaran 93,500 pembayar.

Baginda bertitah, umat Islam yang ingin membayar zakat di kaunter Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang boleh berbuat demikian menggunakan kad debit dan kredit selain secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 6:09 PM