AMIL zakat, Azmi Mustafa 58, menerima pembayaran zakat fitrah di perkarangan UTC Kuantan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
AMIL zakat, Azmi Mustafa 58, menerima pembayaran zakat fitrah di perkarangan UTC Kuantan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


SERAMAI 531 amil dilantik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk mengutip zakat fitrah pada Ramadan tahun ini.

Setiausaha MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata bayaran zakat fitrah boleh dilakukan di masjid negeri, masjid daerah dan masjid kariah bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Katanya, selain itu, umat Islam boleh membuat pembayaran di rumah amil yang dilantik bermula 9 pagi hingga 5 petang.

"Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) di ibu pejabat dan daerah turut menerima bayaran zakat fitrah bermula 9 pagi hingga 3 petang," katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Ahmad Hairi berkata, pembayaran zakat fitrah melalui amil dilaksanakan selepas mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, kaedah pembayaran dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan mengambil kira keadaan semasa bagi kemudahan umat Islam di negeri ini.

"MUIP mendapat nasihat serta diperhalusi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan SOP normal baharu kutipan zakat fitrah ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Sementara itu, Mohd Helmi Kamal, 43 dari Indera Mahkota 16, di sini teruja kerana dapat juga membayar zakat fitrah melalui amil.

"Bayaran melalui amil memberi perasaan sayu berbanding jika berbuat demikian melalui bayaran secara dalam talian

"Terima kasih kepada MUIP yang membenarkan amil mengutip zakat fitrah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 5:28 PM