ORANG ramai digalakkan membayar zakat fitrah lebih awal. FOTO MOHD ADAM ARININ
ORANG ramai digalakkan membayar zakat fitrah lebih awal. FOTO MOHD ADAM ARININ
Asrol Awang


MAJLIS Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menasihati umat Islam di negeri ini supaya tidak menunggu saat akhir untuk membayar zakat fitrah.

Timbalan Yang Dipertua MUIP Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, ini kerana pihaknya sudah melantik 954 amil untuk memudahkan urusan pembayaran.

Katanya, amil yang dilantik itu berada di masjid dan surau selain di pejabat Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang sejak 1 Ramadan lalu.

“Oleh itu, kita menasihatkan umat Islam di negeri ini supaya tidak menunggu saat akhir untuk membayar zakat fitrah.

“Zakat fitrah adalah wajib bagi mereka yang mampu dan sebaiknya ia dilaksanakan lebih awal.

“Tahun ini kadar zakat fitrah kekal RM7 iaitu berdasarkan harga beras di Pahang.

“Kadar ini kekal untuk tempoh 11 tahun berturut-turut sejak 2009,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Abdul Wahid berkata, pada Ramadan tahun ini, pihaknya memperuntukkan RM3.34 juta kepada 641 masjid di negeri ini untuk mengimarahkan Ramadan dengan pelbagai aktiviti keagamaan.

“Sebagai persediaan menyambut Aidilfitri, sebanyak RM6.6 juta diagihkan kepada golongan yang memerlukan iaitu fakir, miskin dan mualaf,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 11:40 AM