Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Empat penjawat awam antara 978 individu yang ditahan berkaitan dadah menerusi Operasi Tapis Bersepadu dan Operasi Tapis Khas di Kelantan sejak 1 Mac sehingga semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata menerusi tangkapan berkenaan juga pihaknya merampas pelbagai jenis dadah termasuk pil yaba membabitkan nilai keseluruhan lebih RM378,000.

Katanya, kesemua suspek yang ditangkap berusia 15 hingga 91 tahun membabitkan empat penjawat awam, 884 warga tempatan, 94 warga asing dan seorang pelajar sekolah iaitu pelajar Tingkatan Empat.

"Empat penjawat awam terdiri daripada dua anggota JPJ, seorang pegawai penjara dan seorang kakitangan jabatan kesihatan daerah.

"Tangkapan membabitkan penjawat awam dilakukan di Machang, Pasir Mas dan Gua Musang. Semua suspek ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhamad Zaki (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah termasuk pil yaba membabitkan nilai keseluruhan lebih RM378,000 menerusi Operasi Tapis Bersepadu dan Operasi Tapis Khas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Muhamad Zaki (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah termasuk pil yaba membabitkan nilai keseluruhan lebih RM378,000 menerusi Operasi Tapis Bersepadu dan Operasi Tapis Khas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Muhamad Zaki berkata, pihaknya turut menyita kenderaan, barang kemas dan wang membabitkan nilai keseluruhan lebih RM72,000.

"Jumlah dadah yang dirampas itu sekiranya berjaya diedarkan, boleh digunakan seramai 34,290 orang penagih," katanya.

Muhamad Zaki menyifatkan mana-mana penjawat awam yang terbabit dengan dadah adalah dianggap serius.

"Setiap kali Ops Tapis dilakukan, sentiasa ada tangkapan membabitkan penjawat awam. Namun ini tangkapan pertama membabitkan pelajar sekolah dan pelajar berkenaan juga positif dadah jenis amphetamine," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 1:43 PM