Institut Latihan Kemas Kuantan dinaik taraf kepada Akademi  Kecemerlangan Pendidikan Awal Kanak-Kanak menjelang 2024. FOTO Ihsan KPLB
Institut Latihan Kemas Kuantan dinaik taraf kepada Akademi Kecemerlangan Pendidikan Awal Kanak-Kanak menjelang 2024. FOTO Ihsan KPLB
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan menaik taraf Institut Latihan Kemas Kuantan menjadi Akademi Kecemerlangan Pendidikan Awal Kanak-Kanak menjelang penghujung 2024.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Ramlan Harun berkata, peruntukan sebanyak RM49 juta sudah diluluskan bagi merealisasikan impian berkenaan.

Menurutnya, penubuhan Akademi Kecemerlangan Pendidikan Awal Kanak-Kanak berkenaan bertujuan untuk melahirkan lebih ramai golongan pendidik masyarakat di peringkat Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) Kemas.

"Kita ingin memastikan lebih ramai pendidik masyarakat yang lebih berkualiti khususnya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

"Usaha berkenaan selaras dengan hasrat Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid yang ingin memastikan pendidik masyarakat memiliki ijazah dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada Skuad Kemas Prihatin atau Sukarelawan Kemas yang membantu misi bantuan banjir yang melanda Pahang, baru-baru ini.

RAMLAN ditemui selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada Skuad Kemas Prihatin atau Sukarelawan Kemas, baru-baru ini. FOTO Ihsan KPLB
RAMLAN ditemui selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada Skuad Kemas Prihatin atau Sukarelawan Kemas, baru-baru ini. FOTO Ihsan KPLB

Turut hadir Ketua Pengarah Kemas Malaysia Datuk Mohamad Yasid Bidin.

Ramlan berkata, akademi berkenaan diharap mampu untuk membina modul pengajaran berkualiti selaras dengan peredaran semasa yang memerlukan kepakaran dalam aspek teknologi terkini dan menyediakan latihan bagi mengakreditasi guru Tabika dan Taska Kemas serta pengusaha Tadika dan Taska swasta.

Katanya, menerusi akademi berkenaan sebanyak lima pusat kecemerlangan akan diwujudkan iaitu Pusat Kecemerlangan Pendidik, Pusat Kecemerlangan Kanak-Kanak, Pusat Kecemerlangan Ibu bapa, Pusat Kesihatan dan Pemakanan dan Pusat Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersialan.

Menurutnya, akademi berkenaan turut akan jadi pusat kecemerlangan kepada semua aktiviti yang membabitkan pendidikan awal kanak-kanak seperti latihan untuk para pendidik, pusat penggubalan modul selain pembabitan ibu bapa memandangkan ia adalah elemen penting dalam pendidikan awal kanak-kanak.

"Projek pembinaan Akademi Kecemerlangan Pendidikan Awal Kanak-Kanak kini sudah bermula dan status terkini adalah untuk melantik perunding dan projek dijangka siap selewat-lewatnya pada 2024," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 7:10 PM