Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Suami isteri yang ditahan berhubung kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang meninggal dunia disyaki didera semalam direman reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Anis Hanini Abdullah selepas menerima permohonan daripada pihak polis di Mahkamah Majistret Ipoh di sini.

Pasangan masing-masing berusia 40 tahun yang juga ibu dan bapa saudara mangsa itu direman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam media melaporkan, suami isteri ditahan susulan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang juga anak saudara mereka disyaki didera.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, penahanan suspek dibuat susulan laporan polis dibuat pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, pada 3.14 pagi.

PASANGAN suami isteri ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang kanak-kanak perempuan yang disyaki didera semalam. FOTO L Manimaran
PASANGAN suami isteri ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang kanak-kanak perempuan yang disyaki didera semalam. FOTO L Manimaran

Berdasarkan laporan, seorang kanak-kanak perempuan dibawa ke hospital oleh ambulans, namun disahkan meninggal dunia pada 1.45 pagi.

Bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Patologi, Jabatan Forensik HRPB mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan kesan objek tumpul.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 12:03 PM