MIOR Faridalathrash (kiri) menyerahkan cenderahati kepada Ayub.  FOTO Balqis Jazimah Zahari.
MIOR Faridalathrash (kiri) menyerahkan cenderahati kepada Ayub. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Polis akan memanggil beberapa saksi bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang meninggal dunia disyaki didera ibu dan bapa saudara baru-baru ini, untuk memberi keterangan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, saksi akan dipanggil bagi menyokong keterangan yang ada.

"Kita akan memanggil beberapa saksi yang terbabit, mungkin jirannya kerana dia (suspek) berniaga jual mi rebus di hadapan rumah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika hadir Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Ahli Jawatankuasa Perhubungan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Perak 2020-2022, di Kelab Golf Diraja Perak, di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob.

Mior Faridalathrash berkata, pihaknya akan merujuk kertas siasatan kepada pihak Jabatan peguam negara sebaik siasatan selesai.

"Dua suspek masih lagi direman selama tujuh hari dan kita akan meneruskan siasatan.

"Kita akan merujuk kertas siasatan kepada pihak Jabatan peguam negara atau pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapat arahan selanjutnya sama ada mereka akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau sebaliknya, kita menunggu hasil siasatan yang sedang dijalankan," katanya.

Beliau berkata, adik mangsa yang juga disyaki didera kini masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati bapa mangsa sedang ditahan di penjara atas kesalahan dadah.

"Selepas ibu dan bapa mangsa bercerai kerana bapa mangsa disabit kesalahan dadah, mangsa diserahkan kepada seorang ibu saudara di Lembah Klang.

"Bagaimanapun, disebabkan ibu saudara berkenaan terkena serangan jantung awal tahun ini, hak penjagaan mangsa diserahkan kepada kedua-dua suspek," katanya.

Katanya, bapa mangsa adalah abang kepada suspek wanita.

"Difahamkan kedua-dua mangsa dijaga suspek sejak awal tahun ini, dan sejak itu penderaan bermula.

"Mangsa mempunyai adik beradik lain tetapi hanya dua beradik ini yang tinggal dengan suspek," katanya.

Semalam, media melaporkan siasatan polis mendapati suami isteri yang ditahan susulan kematian anak saudara mereka dipercayai akibat didera turut mendera adik mangsa yang kini sedang dirawat di hospital.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 7:06 PM