GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: "Memang kedua-dua wanita itu selalu datang ke kedai makan di sini bersama dua kanak-kanak berkenaan."

Itu kata individu yang enggan dikenali ketika ditanya mengenai dua wanita yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam penderaan dua kanak-kanak di sebuah flat di Padang Tembak, Air Itam, di sini.

Menurut lelaki berusia 30-an itu, kelibat dua wanita itu sering dilihat di kawasan perumahan berkenaan sejak tiga tahun lalu.

"Setiap dua minggu dia akan bawa dua kanak-kanak makan di sini, namun tingkah laku mereka biasa sahaja.

"Sehinggalah semalam kami dikejutkan dengan berita penahanan itu, tidak sangka selama ini ada kejadian malang menimpa kanak-kanak berkenaan," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro memetik Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong sebagai berkata, kedua-dua wanita itu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga 31 Mei dan ditempatkan di Lokap Berpusat Bayan Baru.

Wanita warga tempatan berusia 28 dan 52 tahun itu masing-masing adalah ibu dan nenek saudara kepada kanak-kanak berkenaan ditahan selepas polis menerima laporan dibuat seorang lelaki tempatan mengenai satu hantaran di Facebook memaparkan foto dua kanak-kanak sedang makan di restoran dengan kesan kecederaan di muka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 2:55 PM