ROKOK yang dirampas. FOTO Ihsan Briged Tenggara PGA
ROKOK yang dirampas. FOTO Ihsan Briged Tenggara PGA
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang lelaki ditahan bersama lebih 1.4 juta batang rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai kira-kira RM1.1 juta, semalam.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan dalam serbuan di pekarangan sebuah rumah di Kampung Wakaf Tapai, Marang, kira-kira 3 petang.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Hasan Basri Ahmad Safar berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota yang dalam tugas Op Kontraban Pantai Timur.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, suspek sedang memunggah beberapa kotak besar disyaki rokok tidak bercukai di dalam bonet dan tempat duduk belakang sebuah kereta.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas kereta dan rumah berkenaan menemukan kotak yang mengandungi rokok yang dipercayai tidak bercukai.

"Hasil pemeriksaan, kami menemukan 7,146 karton rokok pelbagai jenis mengandungi 1,429,200 batang rokok bernilai RM1,071,900.

"Rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1,092,900 membabitkan rokok, kereta dan telefon bimbit," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 6:35 PM