Datuk Seri Dr. Adham Baba
Datuk Seri Dr. Adham Baba
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Kementerian Sains, teknologi dan Alam Sekitar (Mosti) bercadang mengadakan perbincangan dengan penternak berhubung penggunaan teknologi dalam usaha menangani krisis pengeluaran hasil ternakan pada masa ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pihaknya sudah melakukan perancangan mengenai teknologi bersesuaian yang boleh digunakan penternak terutama berkaitan isu kebergantungan kepada fenomena perubahan iklim yang dilihat mempengaruhi produktiviti pengeluaran semasa.

"Ada penternak menyatakan kemarau menyebabkan ternakan berkurangan atau makanan yang dihasilkan kurang berkualiti jadi kita akan unjurkan supaya kebergantungan kepada iklim ini dapat diusahakan cara penyelesaian melalui teknologi berkaitan kepintaran buatan (AI) dan Internet Kebendaaan (IoT).

"Selain itu, kita turut mengusahakan adanya kerjasama penternak dengan kerajaan, akademia selain pihak yang mengeluarkan dana kerana memahami kebimbangan pengusaha berhubung peningkatan kos operasi," katanya selepas melancarkan Siri Jelajah MYStartup Wilayah Utara di sini hari ini.

Adham berkata, kerajaan dalam mesyuarat kabinet semalam turut meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)

membentangkan kaedah yang boleh membantu penternak dengan pengumpulan input yang diperlukan.

Menurutnya, Kabinet menerusi pembentangan MAFI dan KPNHEP serta pihaknya sendiri turut mempunyai strategi untuk memastikan harga barang kawalan seperti yang dinyatakan berada di bawah radar pemerhatian sekali gus meredakan keresahan rakyat.

Katanya, beliau melihat adanya peluang menurunkan kos ternakan seperti penggunaan dedak atau makanan ayam pada kadar lebih rendah menerusi kaedah pertanian pintar daripada MOSTI selain menerapkan penggunaan teknologi dalam bidang berkaitan.

"Dalam hal ini, kerajaan melihat kepada jangka masa sederhana dan panjang pembangunan tanah untuk tanaman bijirin jagung kerana 60 peratus daripada makanan ternakan seperti ayam memerlukan jagung.

"Berkaitan keperluan bekalan makanan seperti sayur-sayuran kita unjurkan supaya penggunaan pertanian vertikal yang boleh mendapatkan ruang lebih banyak untuk meningkatkan hasil tanaman dan ia termasuk dengan langkah yang diambil kerajaan untuk memastikan bekalan mencukupi," katanya.

Terdahulu, beliau berkata MOSTI menerusi Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) sebagai agensi pelaksana akan meneruskan Program MYHackathon 2022 yang bakal dilancarkan bulan depan dengan mensasarkan lebih banyak inovasi daripada syarikat pemula untuk menambah baik sistem penyampaian kerajaan.

"Jika sebelum ini MYHackathon mendapat 108 penyertaan, pada edisi kali ini, MOSTI mensasarkan lebih daripada 300 penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat antaranya membabitkan syarikat pemula, inovator tempatan dan penuntut. "Sebagai rekod, MYHackathon yang berobjektif membantu mendigitalisasikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat pada edisi sebelum ini sudah berjaya mencungkil bakat 18 pemenang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 6:51 PM