Kelihatan pemandu E-Hailing membawa penumpang. FOTO NSTP
Kelihatan pemandu E-Hailing membawa penumpang. FOTO NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Penawaran dan permintaan yang tidak seimbang serta kesesakan lalu lintas tinggi yang menjadikan masa perjalanan lebih lama, antara faktor utama menyumbang kepada lonjakan tambang e-hailing selain menjejaskan kualiti perkhidmatannya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, selain itu, beberapa syarikat e-hailing juga telah menunjukkan penurunan bilangan pemandu berdaftar sebanyak 30 peratus berbanding sebelum Covid-19 melanda negara.

Kata beliau, kekurangan itu secara tidak langsung menyebabkan masa menunggu kenderaan di beberapa tempat menjadi lebih lama daripada jangkaan.

Pada masa sama, katanya, fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lalu juga menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak terhadap permintaan perkhidmatan e-hailing.

Dalam tempoh sama juga, ia menyaksikan pergerakan bebas orang ramai bagi menjalankan aktiviti ekonomi dan kehidupan seharian secara normal yang turut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas berbanding peringkat awal pandemik menular.

"Faktor-faktor ini telah mempengaruhi formula pengiraan tambang yang digunakan oleh pengendali e-hailing (EHO) merangkumi pelbagai faktor termasuk jarak perjalanan, aliran trafik, keadaan cuaca, serta penawaran dan permintaan pasaran.

"Ini semua mempengaruhi kenaikan tambang sejak kebelakangan ini," katanya pada kenyataan di sini, hari ini, berhubung isu kenaikan tambang e-hailing.

Ka Siong berkata, daripada segi peraturan struktur tambang pula, terdapat dua caj dikenakan iaitu tambang asas dan surcaj.

Kata beliau, kerajaan juga tidak mengawal tambang asas. Surcaj pula tidak boleh melebihi dua kali ganda daripada tambang asas, dengan mengambil kira kadar waktu puncak dan harga bahan api.

"EHO dibenarkan untuk menetapkan struktur tambang mereka berdasarkan formula sendiri dan syarat perkhidmatan mereka dengan pengguna dalam pasaran terbuka," katanya.

Ka Siong berkata, hasil perbincangan antara Kementerian Pengangkutan (MOT), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan EHO baru-baru ini, pihak EHO memberi jaminan kepada MOT untuk memperuntukkan lebih banyak sumber ke arah meningkatkan bilangan pemandu.

"Pada masa sama, kerajaan juga akan terus memastikan lebih banyak EHO bersama-sama perkhidmatan teksi dan bas tersedia, untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna," katanya.

Ka Siong berkata, lebih 130,000 individu memegang lesen vokasional untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Angka ini dijangka bertambah apabila institut memandu dan EHO menerima lebih ramai calon untuk menjadi pemandu e-hailing bagi 21 EHO dengan lesen aktif di seluruh negara, termasuk Lembah Klang.

Beliau berkata, kerajaan menggesa semua EHO supaya meningkatkan saluran komunikasi mereka dengan pengguna manakala kerajaan akan terus memantau industri e-hailing bagi memastikan keadilan serta mengelakkan beban yang tidak wajar kepada pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 1:35 PM