GAMBAR tular lori muatan besi tiba-tiba mengundur dan merempuh kereta di sebuah stesen minyak di Manjalara, Kepong.
GAMBAR tular lori muatan besi tiba-tiba mengundur dan merempuh kereta di sebuah stesen minyak di Manjalara, Kepong.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Lori muatan besi yang ditinggalkan seketika oleh pemandunya, tiba-tiba mengundur dan merempuh kereta di sebuah stesen minyak di Manjalara, Kepong, hari ini.

Kejadian itu turut tular selepas rakaman video insiden itu dimuat naik di media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian dilapor 10.30 pagi, membabitkan lori jenis Hino dan kereta Honda City.

"Siasatan mendapati pemandu lori berusia 52 tahun memberhentikan kenderaan untuk pengisian bahan api di salah satu pam minyak di stesen berkenaan.

"Semasa meninggalkan lori dan menuju ke kaunter bayaran, secara tiba-tiba lori bergerak secara mengundur, lalu melanggar kereta yang sedang berhenti di persimpangan jalan berhampiran stesen minyak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Sarifuddin berkata, kemalangan itu tidak mengakibatkan kecederaan kepada kedua-dua pemandu.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 14(1) LN 165/59 iaitu kesalahan tidak menarik brek tangan dengan kemas.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 6:38 PM