70 bungkusan air ketum yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, Khamis lalu.
70 bungkusan air ketum yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, Khamis lalu.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Kegiatan pengedaran air ketum di daerah ini yang didalangi tiga individu sejak empat bulan lalu terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Mahkota Cheras, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam serbuan 11.20 malam itu, pihaknya menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 tahun hingga 40-an.

"Dalam serbuan itu, kami turut merampas 70 bungkusan air ketum bernilai RM700 dan tiga kilogram (kg) daun ketum.

"Hasil siasatan dilakukan mendapati kegiatan pemprosesan air ketum itu dijalankan sejak empat bulan lalu dan diedarkan di sekitar Bandar Mahkota Cheras serta Kajang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaid berkata, daun ketum itu dipercayai diperoleh suspek dari utara tanah air.

"Semua individu yang ditahan dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Kajang untuk tindakan lanjut.

"Semua suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah di daerah ini boleh salurkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 3:38 PM